PMM Giat Lakukan Persiapan Anjur Kejohanan Mendaki ASEAN

Mohd Zaidi Kamaruddin
22/02/2025 07:22 PM

PUTRAJAYA, 22 Feb (Bernama) -- Persekutuan Mendaki Malaysia (PMM) giat melakukan persiapan untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Mendaki ASEAN yang dijangka diadakan pada awal Julai.

Presiden PMM Mohd Zaidi Kamaruddin berkata kejohanan itu penting sebagai medan mencungkil bakat baharu, selain memberi pendedahan kepada atlet dan membangunkan pasukan mendaki kebangsaan.

“Kejohanan yang pertama kali dilangsungkan ini sebahagian daripada siri pertandingan untuk mempersiapkan atlet kita menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada siri Pendakian Sukan Negara - Boulder 1/2025, di sini hari ini.

Beliau berkata kejohanan itu dapat memberi pendedahan kepada atlet mengenai suasana pertandingan sebenar, memandangkan kos untuk menjalani latihan di luar negara sangat tinggi.

Antara negara yang dijangka menyertai Kejohanan Mendaki ASEAN adalah Thailand, Singapura, Vietnam, Indonesia, Filipina, Kemboja dan Brunei.

Mohd Zaidi berkata PMM juga sedang mencari bakat-bakat baharu kerana persekutuan ini menyasarkan sekurang-kurangnya seorang atlet mendaki negara layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Beliau berkata dengan usaha yang sedang dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN), PMM yakin dapat melahirkan lebih banyak atlet bertaraf antarabangsa dan bersaing di pentas dunia dalam sukan mendaki.

Sementara itu, Timbalan Presiden PMM Mohd Akbal Amin berkata pembangunan sukan mendaki masih menghadapi cabaran dari segi kemudahan dan pembiayaan.

“Kami melihat kekurangan kemudahan, khususnya untuk acara boulder dan lead wall sebagai cabaran utama. Namun, kami sedang berusaha memastikan atlet mendapat latihan terbaik melalui program latihan berpusat selama dua minggu sebelum bertanding dalam Kejohanan ASEAN pada awal Julai,” katanya.

Beliau berkata untuk meningkatkan daya saing, atlet Malaysia juga disasarkan untuk menjalani latihan bersama negara-negara yang telah maju dalam sukan ini seperti Jepun, Korea Selatan dan Indonesia.

“Namun, kekangan kewangan tetap menjadi cabaran dalam menghantar atlet ke luar negara untuk latihan intensif,” katanya.

-- BERNAMA