Sukan Dipertandingkan Di Pentas Olimpik Jadi Asas Pemilihan Acara Di Sukan SEA 2027 - Hannah

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bercakap ketika sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2025 di Axiata Arena hari ini. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
21/04/2025 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Sukan yang dipertandingkan di pentas Olimpik akan menjadi asas utama pemilihan acara bagi penganjuran Sukan SEA 2027 di Malaysia, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau bekata persefahaman telah dicapai antara tiga negara iaitu Malaysia, Thailand dan Singapura untuk memberi penekanan kepada sukan-sukan dipertandingan di pentas Olimpik.

“Saya difahamkan bahawa Thailand (tuan rumah Sukan SEA 2025), Malaysia dan Singapura (tuan rumah Sukan SEA 2029) sudah ada persefahaman bahawa asasnya adalah sukan-sukan di Olimpik.

“Kita akan lihat sukan-sukan yang akan dipertandingkan oleh Thailand pada hujung tahun ini (9 hingga 20 Dis),” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini.

Beliau mengulas pandangan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria supaya sukan dipertandingkan di Sukan Olimpik diberi keutamaan dalam pemilihan acara bagi Sukan SEA 2027, baru-baru ini.

Hannah berkata pemilihan acara sukan di temasya dwitahunan itu juga bergantung kepada peruntukan kewangan.

Malaysia dipilih tuan rumah edisi ke-34 Sukan SEA pada 2027 dengan penganjuran melibatkan empat bandar utama iaitu Kuala Lumpur, Kuching, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor Bahru, Johor.

Sementara itu, Hannah berkata pengumuman pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 akan dibuat dalam masa terdekat.

“Selepas itu, kerja kena mula dah, kerana kita tak banyak masa. Jadi untuk acara (dipertandingkan) bergantung sangat kepada bajet dan persatuan sukan masing-masing untuk kita bincang bersama dengan MOM,” katanya.

Terdahulu, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KBS 2025 berlangsung meriah dengan kehadiran warga kementerian, atlet, bekas atlet, legenda negara dan wakil-wakil persatuan sukan kebangsaan.

-- BERNAMA