JURUFOTO BERNAMA RANGKUL PINGAT EMAS IAAP
KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Gambar aksi terjunan Nur Dhabitah Sabri di Sukan Olimpik Paris 2024 membawa tuah buat jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Ahmad Iskandar Kamaruzaman apabila dinobatkan sebagai pemenang pingat emas International Association of Art Photographers (IAAP) dalam pertandingan The Spirit of the Olympics: Beyond Victory and Defeat.
Pertandingan anjuran Gilavar Photo Club dari Azerbaijan itu menyaksikan jurufoto berusia 38 tahun mengetepikan saingan Anvar Ilyasov dari Uzbekistan yang membawa pulang pingat perak manakala Naib Ahmadov dari Azerbaijan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.
Menurut Ahmad Iskandar, dia sebenarnya tidak menyangka meraih pingat emas kerana mengakui 'tersilap' percaturan ketika menghantar pencalonan kepada penganjur baru-baru ini.
“Sebenarnya, saya mahu hantar gambar pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang terlibat dalam kemalangan sewaktu beraksi di final keirin lelaki.
“Bagaimanapun, saya tersilap hantar gambar Nur Dhabitah memandangkan terdapat kesilapan pada sistem laman web anugerah tersebut,” katanya kepada Bernama.
Beliau mengakui bukan mudah untuk mengambil gambar Nur Dhabitah namun berpuas hati dapat menghasilkan foto yang disifatkannya cukup ‘bersih’ dengan berlatarbelakangkan logo ikonik temasya sukan berprestij dunia itu.
Selain gambar Nur Dhabitah, jurufoto yang memiliki pengalaman 13 tahun bekerja itu turut mencuba nasib dengan mencalonkan tiga keping gambar lagi iaitu aksi gimnas terkemuka dari Amerika Syarikat Simone Biles, pemain badminton perseorangan lelaki dari Denmark Viktor Axelsen selain aksi kayuhan pelumba berbasikal trek di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines.
Ahmad Iskandar pada masa sama berbangga kerana dapat meningkatkan reputasi Bernama di peringkat antarabangsa selain bersyukur dengan peluang berharga diberikan majikan bagi membuat liputan sepanjang Paris 2024 pada 26 Julai hingga 11 Ogos lepas.
-- BERNAMA