MEGAT D SHAHRIMAN KEKAL TERAJUI MPM
KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) – Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berjaya mempertahankan jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) buat penggal kedua berturut-turut pada Mesyuarat Agung Tahunan MPM kali ke-25, hari ini.
Megat D Shahriman mengetepikan pencabarnya yang juga bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dengan keputusan 14-10 pada mesyuarat itu, sekali gus kekal menduduki kerusi nombor satu tersebut bagi penggal 2025-2028.
Beliau yang menjawat jawatan Presiden MPM sejak 2019 bersyukur kerana ahli gabungan MPM masih memberi kepercayaan kepadanya untuk memimpin badan induk sukan para negara.
Megat D Shahriman berkata beliau akan memberikan komitmen penuh untuk memperkasakan MPM menerusi janji manifestonya baru-baru ini.
“Alhamdulillah, saya akan beri yang terbaik untuk terus menabur bakti buat negara...terima kasih juga kepada Ahmad Shapawi yang sudi bertanding,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
"Saya pasti semua yang bertanding tiada yang menang mahupun kalah. Apa yang penting adalah tugas kami selepas ini untuk menaikkan martabat organisasi (MPM),” katanya.
Antara janji manifestonya adalah menyediakan program latihan bagi atlet berprestasi tinggi yang berada di luar Program Podium MSN, menarik lebih banyak kejohanan antarabangsa di dalam negara selain mewujudkan satu pendapatan pasif bagi mengukuhkan sumber kewangan MPM.
Beliau turut terbuka untuk menerima pandangan Ahmad Shapawi dalam usaha memartabatkan pembangunan sukan para negara selain menjalin hubungan lebih baik bersama MSN.
“Saya sangat menghormati Ahmad Shapawi kerana beliau seperti abang kepada saya. Kami juga akan bekerjasama secara lebih konstruktif dengan MSN,” katamnya.
Sementara itu, Ahmad Shapawi mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan kepimpinan MPM bagi penggal baharu dan bersedia menghulurkan bantuan sekiranya khidmat atau pandangannya diperlukan.
Barisan kepimpinan MPM 2025-2028:
Presiden: Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin
Timbalan Presiden: KM Rajendran Mutusamy
Naib Presiden (OKU): Datuk Mah Hassan Omar
Naib Presiden: Datuk Amarjit Singh Gill, Dr Ang Kean Koo, Joshua Edgar Mariyee Joseph
Setiausaha Agung: Datuk R. Subramaniam
Bendahari: Kumarusamy P. Sithambaran
Naib Bendahari: Rattna Aizan Mohd Idris
--BERNAMA