Kesungguhan Dan Kesabaran Kristian Terbalas

Kristian Tung
22/08/2024 03:57 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUCHING, 22 Ogos (Bernama) -- Ketika mula menceburi sukan seawal usia 10 tahun, pelari jarak jauh Wilayah Persekutuan Kristian Tung tidaklah sehebat mana.

“Saya selalu kalah,” katanya.

Bagaimanapun, Kristian tidak pernah meragui kemampuannya dan hari ini beliau bangga berada di atas podium buat kali ketiga pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di sini.

“Saya suka berlari sejak kecil dan atas sebab tertentu saya fikir saya mempunyai keupayaan walaupun semua orang mengalahkan saya. Saya hanya sentiasa perlu yakin bahawa saya akan bersaing untuk menjadi yang terbaik suatu hari nanti dan keyakinan itu terbalas.

“Saya terlibat secara serius dalam larian ketika berusia 15 tahun. Saya bukan sahaja suka menjalani latihan, tetapi juga bersaing dan mencipta kemenangan ialah perasaan yang sukar digambarkan,” katanya selepas memenangi acara 5,000 meter (m) lelaki yang berlangsung di Stadium Sarawak di sini hari ni.

Meraih pingat emas acara 10,000m and 1,500m pada Selasa lepas, Kristian terus meraih kemenangan dalam acara 5,000m dengan catatan 15 minit dan 20.50 saat (s) manakala Shawn Roshan Singh (15:27.37s) dan Muhammad Farooq Muhammad Zubair Kanan (15:30.45s), kedua-duanya dari Perak, menduduki tempat kedua dan ketiga.

Berpangkalan di United Kingdom, atlet berusia 20 tahun itu memenangi acara 10,000m dengan catatan 33:48.049s manakala 1,500m dengan masa 4:04.62s.

Bulan lepas, Kristian merakamkan catatan terbaik peribadi 14:31s dalam acara 5,000m, sekali gus melayakkannya ke Sukan SEA 2025 di Thailand namun terlepas menyertai Kejohanan Asia.

“Ia akan menjadi Sukan SEA pertama saya, saya sangat teruja kerana saya mengimpikan untuk mewakili Malaysia sejak kecil.

“Meskipun tidak sehebat pelari sebelum ini, saya berlatih bersunguh-sungguh. Perintah kawalan pergerakan (kerana pandemik COVID-19) amat sukar, namun saya meneruskan latihan dengan berlari sejauh 130 kilometer seminggu,” katanya.

Kristian yang merupakan penuntut dalam jurusan Sains Sukan dan Matematik di Loughborough University, United Kingdom berkata beliau tidak mempunyai masalah membahagikan masa antara pengajian dan sukan.

“Universiti menjadikan sangat mudah kerana Loughborough adalah universiti sukan, mereka memperuntukkan masa untuk latihan dan pengajian, dan semua sentiasa menyertainya. Jadi tiada sesiapa yang akan ketinggalan,” katanya.

-- BERNAMA