Liek Hou Intai Penamat Luar Biasa Bagi Tahun 2024

Pemain badminton para negara Cheah Liek Hou
21/10/2024 07:04 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Pemain badminton para negara Cheah Liek Hou masih belum berpuas hati, meskipun melakar pencapaian cemerlang tahun ini termasuk kejayaan mempertahankan pingat emas dalam kategori SU5 (kecacatan fizikal), pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris, Perancis.

Dengan rekod tanpa kalah dalam semua lima pertandingan tahun ini termasuk di Sukan Paralimpik, Liek Hou meletakkan sasaran untuk menamatkan musim yang luar biasa dengan melakar satu lagi kemenangan di Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Bahrain 2024 pada Disember depan.

“Saya akan cuba sedaya upaya (untuk memenangi kejohanan di Bahrain). Selepas balik dari Paris, sudah lama saya tidak menjalani latihan penuh kerana fokus rehat, dan saya juga kurang pasti dengan persiapan pemain lain.

“Sekiranya keadaan saya baik sebelum ke Bahrain, saya memang sasar untuk menang kejohanan dan menutup tahun ini dengan menang semua,” katanya kepada Bernama.

Pemain nombor satu dunia itu berjaya mempertahankan emas pada dua edisi berturut-turut di Paralimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024, selepas mengalahkan lawannya dari Indonesia, Suryo Nugroho dengan mata 21-13, 21-15 dalam masa 42 minit.

Liek Hou menganggap kejohanan di Bahrain sangat mencabar, terutama statusnya sebagai pemain yang menduduki ranking teratas dalam Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pemain berusia 36 tahun itu berkata beliau bercadang untuk kembali menjalani latihan penuh pada pertengahan bulan depan, untuk persiapan menghadapi pertarungan terakhir tahun ini, yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 15 Dis di Manama.

Walaupun tidak berlatih bersungguh-sungguh selepas Paris 2024, juara dunia lapan kali itu mengakui beliau benar-benar menikmati rehat yang sangat diperlukan.

“Saya ambil kesempatan menolak dua kejohanan selepas Paris 2024 namun tetap berlatih, tetapi tidak bersungguh-sungguh. Saya hanya nak rehatkan badan dan minda selain ada urusan peribadi,” katanya.

Sementara itu, pemain kelahiran Kuala Lumpur berkenaan berkata beliau mempunyai perancangan yang menarik sebelum kembali menjalani latihan.

Selain pingat emas Paris 2024, Liek Hou berjaya merangkul empat gelaran iaitu Kejohanan Badminton Para Dunia BWF 2024, Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol I dan II 2024 serta Kejohanan Empat Negara Badminton Para Antarabangsa 2024.

-- BERNAMA