Sukan SEA 2027: Miri Terbuka Anjur Beberapa Sukan - Awang Tengah

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kanan) menyantuni penyokong ketika hadir ke pertandingan silat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Tertutup Miri hari ini.
21/08/2024 04:02 PM

MIRI, 21 Ogos (Bernama) -- Bandar Miri bersedia dan terbuka untuk menjadi venue bagi penganjuran beberapa sukan sekiranya Sarawak menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata bandar itu berpotensi menganjurkan sebahagian sukan berdasarkan pemerhatian di beberapa venue yang terlibat pada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 ketika ini.

Sebanyak enam sukan dipertandingkan di Miri iaitu karate, lawan pedang, pelayaran, pencak silat, ragbi dan sofbol pada temasya dwitahunan itu.

"Di Miri ini saya dapati kelengkapan bagus dan lengkap bukan sahaja di Stadium Tertutup Miri tetapi di beberapa tempat lain, nampaknya Miri cukup bersedia untuk anjurkan kejohanan yang lebih besar.

"Ini telah dibuktikan dengan SUKMA ini. Sekiranya menjadi tuan rumah Sukan SEA, sudah tentu beberapa acara boleh kita adakan di Miri," katanya selepas melawat venue acara pencak silat di Stadium Bandaraya Miri, di sini hari ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini berkata negeri itu bersedia menjadi hos bersama penganjuran Sukan SEA 2027 dan mencadangkan agar acara perasmian temasya sukan itu diadakan di Bumi Kenyalang.

Awang Tengah pada masa sama berharap kontinjen Bumi Kenyalang mampu muncul juara keseluruhan SUKMA 2024 dengan sasaran 70 pingat emas.

Setakat 2.50 petang ini, tuan rumah mendahului dengan 51 emas, 29 perak dan 39 gangsa.

-- BERNAMA