Sukan Olimpik: Tekanan Lebih Dirasai Di Perkampungan Atlet Buat Aaron-wooi Yik - Rexy
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky menjangkakan tekanan lebih tinggi dijangka dirasai setibanya juara beregu lelaki dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di perkampungan atlet Sukan Olimpik 2024 di Paris, dijadual bermula 26 Julai-11 Ogos ini.
Dengan sukan badminton dijangka berlangsung dari 27 Julai-5 Ogos di Porte de la Chapelle Arena, Rexy berkata perasaan sedemikian mungkin timbul buat pasangan nombor satu negara itu setelah melihat atlet dari negara lain mula memenangi pingat terutamanya emas pada temasya sukan terbesar dunia itu.
"Buat masa ini tekanan mungkin belum nampak pada Aaron-Wooi Yik, namun mungkin dapat mula dirasai di perkampungan atlet yang menghimpunkan ramai atlet berkelas dunia di situ.
“Di sana nanti sekiranya terdapat atlet yang sudah dapat ems lebih awal, mungkin mereka berfikir bila giliran kami serta berasa tidak sabar (menang emas). Tekanan bukan datang dari pihak luar namun di situlah ia mula dirasai,” katanya kepada ditemui selepas sesi latihan, semalam.
Justeru, bekas pemenang emas Sukan Olimpik 1996 bersama Ricky Subagja itu optimis kehadiran pakar psikologi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Frederick Tan memainkan peranan penting dalam membantu pasangan nombor empat dunia tersebut menyerap tekanan sepanjang di Paris.
Disember lepas, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin berkata Aaron-Wooi Yik serta jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang merupakan sandaran terbaik Malaysia untuk memenangi emas sulung Sukan Olimpik.
Baru-baru ini, Azizulhasni yang diberi julukan 'The Pocket Rocketman’ bertekad untuk menyumbang pingat emas pertama Malaysia di Paris 2024 pada penampilan kelima dan terakhirnya di pentas Olimpik.
Dalam pada itu, Rexy yang gembira dengan prestasi dipamerkan Aaron-Wooi Yik setakat ini mengingatkan pemenang gangsa Sukan Olimpik 2020 itu agar tidak terlalu ghairah dan terus fokus meningkatkan prestasi menjelang Paris 2024.
-- BERNAMA