Ervin Sasar Pertahan Order Of Merit Jelajah Toyota

Professional golfer Ervin Chang receives the 2023 Toyota Tour Order of Merit winner trophy from the UMW Toyota Motor deputy chairman Takashi Obata.
31/01/2024 01:46 AM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Juara Sukan SEA Hanoi 2021, Ervin Chang bertekad untuk mempertahankan gelaran Order of Merit Jelajah Toyota 2023, selain bersedia untuk menghadapi cabaran lebih getir dalam Jelajah Asia dan Jelajah Pembangunan Asia (ADT) tahun ini, 

Pelumba berusia 25 tahun itu, yang meraih kelayakan ke Jelajah Asia susulan kedudukannya sebagai 10 pemain terbaik dalam ADT 2023, mahu memenangi lebih banyak acara dalam siri jelajah itu, selepas hanya memenangi Piala Mirai di Kelab Golf Sarawak Mei lepas.

Ervin, yang bakal membuat penampilan sulung dalam Jelajah Asia pada Terbuka Malaysia dari 15 hingga 18 Feb ini di Mines Resort & Golf Club, turut menyasarkan untuk memenangi seberapa banyak acara dalam jelajah itu. 

"Bagaimanapun, sedikit sukar dengan jadual Jelajah Asia dan ADT. Saya akan bertanding kebanyakannya dalam Jelajah Asia...tidak mudah, kita tahu betapa kompetitifnya jelajah kini.

"Saya amat gembira berjaya layak ke Jelajah Asia selepas bergelar profesional hanya selama setahun setengah. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk bertanding dalam Jelajah Toyota dan mempertahankan Order of Merit,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan Siri Jelajah Toyota 2024 di sini hari ini.

Ervin, yang mengungguli ranking musim lepas selepas meraih RM151,796 hadiah wang tunai, berkata Jelajah Toyota adalah platform terbaik untuk pemain tempatan bersaing terutama dengan kehadiran jaguh seperti Danny Chia, Gavin Green and Shahriffuddin Ariffin.

Selain itu, beliau berpendapat status Terbuka Malaysia meningkat setelah dinamakan sebagai satu daripada dua kejohanan Jelajah Asia (bersama Terbuka Korea) sebagai acara kelayakan untuk kejohanan berprestij Terbuka British (juga dikenali sebagai The Open) yang bakal diadakan dari 18-21 Julai di Royal Troon Golf Club di South Ayrshire, Scotland.

"Saya bersyukur mendapat tempat dalam Terbuka Malaysia, tidak sabar untuk bermain dan bersaing dengan pemain-pemain hebat daripada Jelajah Asia dan juga pasukan tempatan," katanya.

Terdahulu, beliau menerima trofi Order of Merit daripada Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Takashi Obata.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MST Golf Ng Yap berkata dalam usaha merapatkan jurang antara pemain golf profesional dengan amatur, pihak penganjur memutuskan untuk memperkenalkan Kejohanan eGolf tahun ini.

Inisiatif baharu itu bakal menyaksikan kejohanan golf tertutup diadakan di empat lokasi MST Golf Arena di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor untuk pemain golf amatur bersaing merebut hadiah pingat bulanan dan peluang beraksi dalam acara Pro-Am Jelajah Toyota, selain berpeluang berentap dengan pemain profesional.

Jelajah Toyota 2024 yang diperkenalkan pada 2023 merupakan sinergi tiga hala antara UMW Toyota Motor, Persatuan Professional Golf Malaysia (PGM) dan Kumpulan MST Golf serta disokong oleh ADT.

Siri jelajah itu terdiri daripada 10 pusingan melibatkan lapangan baharu seperti Penang Golf Resort, Royal Pahang Golf Club, Sibu Golf Club, Tiara Melaka Golf & Country Club dan Kota Permai Golf & Country Club.

-- BERNAMA