Jin Wei Cari Inspirasi Ke Olimpik Di Chengdu

Pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei
26/04/2024 06:49 PM


Daripada Amiril Muttaqien & Mohd Nazirul Mohamed Roselan

CHENGDU, 26 April (Bernama) -- Pemain badminton perseorangan wanita negara Goh Jin Wei optimistik bahawa bermain di Piala Uber 2024 yang bermula esok di Chengdu, China, menjadi platform terbaik buat dirinya bersedia untuk penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024.

Jin Wei, bekas juara remaja dunia dua kali itu layak ke Paris 2024 buat pertama kalinya dan beliau bertekad untuk mara sejauh mungkin pada temasya sukan terbesar dunia itu, yang dijadualkan dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

“Saya rasa Piala Uber 2024 ialah kejohanan utama terakhir sebelum Sukan Olimpik 2024 dan penyertaan di Chengdu akan menjadi platform yang sangat baik untuk saya mendapatkan inspirasi pertandingan di Paris,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi latihan di sini, hari ini.

Pemain berusia 24 tahun itu kini berada pada kedudukan ke-20 dalam siri kelayakan Race to Paris, yang akan berakhir Ahad ini.

Mengikut kriteria kelayakan Paris 2024, keseluruhan terdapat 35 tempat, satu tempat bagi negara tuan rumah dan dua tempat kesejagatan yang akan disahkan oleh Suruhanjaya Tiga Pihak selepas tamat tempoh kelayakan.

Acara perseorangan lelaki dan wanita ditetapkan setiap negara boleh mempunyai kuota maksimum dua tempat jika pemain tersebut berada pada kedudukan 16 terbaik dalam ranking kelayakan ke Paris.

Walaupun harapan terhadap skuad wanita negara di Chengdu adalah rendah, pemain berasal dari Pulau Pinang itu berharap, rakan sepasukannya mampu mencipta kejutan dalam Kumpulan B bersama naib juara 2018 Thailand selain Taiwan dan Australia.

“Memandangkan kami telah sampai ke sini, kami tidak mempunyai apa-apa tekanan, hanya turun ke gelanggang dan berjuang,” katanya.

Jin Wei turut berkongsi lagu ‘Semangat Sepasukan’ yang menjadi laungan perang ‘rasmi’ mereka dalam kejohanan kali ini dan ia telah meningkatkan semangat mereka untuk memberikan 100 peratus, pada kejohanan berlangsung di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan B Piala Uber 2024 menentang Taiwan Ahad ini, diikuti dengan Thailand (29 April) dan Australia (1 Mei).

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir.

Piala Uber 2024 akan berlangsung sehingga 5 Mei.

-- BERNAMA