Msa Tagih Khidmat Jurulatih Luar Negara Bimbing Nur Shazrin
KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) sedang mencongak untuk mendapatkan khidmat jurulatih luar negara bagi mempersiapkan atletnya Nur Shazrin Mohamad Latif yang sudah menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif MSA Mazlan Othman berkata perkara itu masih dalam pertimbangan Majlis Sukan Negara (MSN) berdasarkan prestasi pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022 itu di Kejohanan Pelayaran Asia pada 10 hingga 20 Dis di Pattaya, Thailand.
“Ada program (untuk Nur Shazrin) sebab itu kalau boleh mahu dia dilatih jurulatih luar negara serta berpangkalan di Eropah tetapi ia masih dalam perbincangan bersama pihak MSN. Namun ia bergantung kepada pusingan kelayakan di Pattaya walaupun dia sudah layak sebab kena tengok juga prestasi rakan sepasukan lain.
“Walaupun mempunyai jurulatih tempatan (Mohd Hafizi Roslee) yang memang bagus, kita perlu ke hadapan sekiranya mahu melonjak lebih baik dalam Sukan Olimpik Paris sebab kita perlukan input luar untuk memastikan Nur Shazrin sekurang-kurangnya kalau tidak dapat pingat pun berada dalam kelompok 15 terbaik,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Sukan di MSN, di sini hari ini.
Nur Shazrin, 25, yang menyumbang pingat emas di Sukan Asia Hangzhou 2022 menerusi acara ILCA6 Wanita mengesahkan tempat secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam pada itu, Mazlan turut melahirkan harapan agar skuad pelayaran negara mampu menempah dua lagi slot ke Paris menerusi Khairulnizam Afendy (ILKA7) serta Muhammad Fauzi Kaman Shah dan Juni Karimah (470 campuran) yang turut menyertai Kejohanan Pelayaran Asia.
Beliau berkata sekiranya mereka berjaya di kejohanan berkenaan pastinya Malaysia mampu menyamai pencapaian Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan empat wakil negara dihantar ke temasya empat tahun sekali itu.
“Kita rasakan bahawa dia (Khairulnizam) boleh layak ke Sukan Olimpik tapi saingan terkuat adalah dari Korea Selatan. Jadi, kejayaan itu adalah berdasarkan faktor lain seperti angin, ombak dan sebagainya. Turut disandarkan harapan ialah Muhammad Fauzi dan Juni.
“Namun untuk mereka tempah slot ke Sukan Olimpik perlu sekurang-kurangnya menaiki podium di Pattaya,” katanya.
-- BERNAMA