Bryan Sudah Ada Misi Di Tanah Air
KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Biarpun belum memegang jawatan sebagai pengarah teknikal, Bryan Nickson Lomas sudah menetapkan dua misi untuk dicapainya apabila membimbing skuad terjun negara kelak.
Beliau berkata misi berkenaan ialah mengumpul data bakat baharu di seluruh negara serta menggilap penerjun wanita berpotensi bertaraf dunia, apabila melaporkan diri untuk tanggungjawab itu pada 1 Okt ini.
“Jika tiada halangan, pertamanya saya akan kumpul data untuk tahu berapa ramai atlet lelaki dan wanita dari seluruh negara untuk lihat adakah kita di landasan (hasilkan bakat baharu).
“Saya juga akan mengutamakan penghasilan bakat wanita. Bukan nak ketepikan penerjun lelaki namun realitinya lebih senang melahirkan penerjun bertaraf dunia dalam kalangan wanita dan mempunyai peluang untuk meraih pingat di Sukan Olimpik ,” katanya kepada Bernama.
Menurut bekas penerjun kebangsaan itu, standard dalam acara wanita masih sama seperti dua dekad lepas, namun cabaran lebih sengit dari semasa ke semasa dalam acara lelaki.
“Untuk wanita perlu buat dua terjunan asas dan tiga terjunan yang mempunyai darjah kesukaran tinggi seperti 3 ½ kuang membalik (inward 3 ½ somersaults) manakala lelaki pula sampai satu tahap boleh sehingga tahap 4 ½ pusingan,” katanya.
Bekas atlet kelahiran Kuching, Sarawak itu berkata lebih banyak masa diperlukan untuk melahirkan penerjun lelaki bertaraf dunia kerana mereka perlu memahirkan diri melakukan terjunan dengan darjah kesukaran lebih tinggi.
Sementara itu, Bryan yang berkhidmat sebagai jurulatih terjun sebuah kelab sukan di Kuwait sejak 2019 berkata, semua urusan termasuk rundingan berkaitan tugas baharunya telah mencapai 70 peratus dan beliau menyatakan harapannya untuk kembali ke tanah air tidak lama lagi.
"Sudah tentu saya teruja untuk berkhidmat kepada negara. Walaupun tanggungjawab agak besar tapi saya bersedia untuk berkongsi pengalaman bagi membantu Persekutuan Renang Malaysia (MAS) dan skuad terjun kebangsaan untuk lebih maju,” katanya.
Setiausaha Kehormat MAS Andy Low pada Ahad lepas berkata, selain Bryan, MAS turut melantik seorang lagi bekas penerjun negara Khairul Safwan Mansur sebagai pengarah berprestasi tinggi skuad terjun negara.
Bryan, 33, merupakan antara penerjun lelaki negara yang berjaya dengan memenangi pingat di pentas antarabangsa termasuk di Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel selain bertanding di tiga temasya Sukan Olimpik iaitu Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012.
Beliau juga merupakan atlet termuda negara yang layak ke Sukan Olimpik pada usia 14 tahun, serta muncul penerjun pertama Malaysia yang meraih pingat emas acara 3 meter papan anjal di Kejohanan Remaja Dunia 2004 di Brazil.
Khairul Safwan pula pernah mewakili negara sekitar 2000, menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa seperti Sukan Komanwel 2006 dan beberapa edisi Piala Dunia.
-- BERNAMA