Magdalene tambah koleksi pingat Perak di SEAOWSC

03/02/2023 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Perenang muda kebangsaan, Magdalene Lau meneruskan rentak cemerlang apabila meraih pingat perak menerusi kategori 10 kilometer (km) pada Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia Tenggara (SEAOWSC) di Tasik Putrajaya, hari ini.

Anak jati Sarawak berusia 17 tahun itu mengulangi pencapaiannya dalam perlumbaan 5km semalam, dengan menamatkan saingan di tempat kedua kategori wanita 16-17 tahun dengan catatan masa 2 jam 15 minit 10.7 saat (s) di belakang juara Natwara Bovornsukseri dari Thailand yang merekodkan 2:11:46.9s. 

Seorang lagi perenang negara, Ashley Soh di kedudukan ketiga dengan catatan 2:25:06.9s. 

Kejayaan itu menyaksikan Magdalene berjaya menempatkan diri di tempat ketiga dalam senarai kedudukan keseluruhan yang merangkumi perenang daripada kategori 18-19 tahun dan 20 tahun ke atas.

“Pengalaman berlumba dalam acara 5km semalam memang banyak membantu saya hari ini. Saya beraksi jauh lebih baik berbanding semalam, namun untuk 10km pastinya jauh lebih memenatkan dan perlu menyelaras kelajuan kuakan supaya dapat kekal bersaing sepanjang tempoh perlumbaan.

“SEAOWSC pasti meninggalkan kenangan manis untuk saya kerana ini penampilan sulung bukan sahaja dalam arena perairan terbuka, malah antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

-- BERNAMA