Sukan SEA 2027: 18 Sukan Bakal Diadakan Di Sarawak - Abdul Karim 

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah --fotoBERNAMA (2024)
28/03/2025 06:30 PM

KUCHING, 28 Mac (Bernama) -- Sarawak, selaku tuan rumah bersama Sukan SEA 2027 bakal  menganjurkan sejumlah 18 acara sukan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata keputusan berkenaan dicapai baru-baru ini, selepas bermesyuarat bersama pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memuktamadkan sukan yang akan diadakan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Kami telah bersetuju untuk mengadakan 18 acara sukan di sini (Sarawak) dan 18 lagi di Semenanjung Malaysia.

“Antara sukan yang akan diadakan di Sarawak ialah tenpin boling, renang, terjun, kriket, taekwondo, memanah dan menembak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abdul Karim berkata Sarawak juga sedang berunding untuk menjadi tuan rumah sukan gimnastik selepas dimaklumkan bahawa Persekutuan Gimnastik Malaysia memohon acara berkenaan diadakan di Kuching.

“Mereka mahu (gimnastik) diadakan di sini selepas melihat bagaimana kami mengaturnya semasa temasya SUKMA tahun lepas,” kata beliau. 

-- BERNAMA