Enam Lagi Sukan Dapat Dana Tambahan Bagi Pembangunan Bakat Baharu
KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal menyalurkan dana tambahan untuk enam lagi sukan bagi tujuan pembangunan bakat baharu sebagai persediaan ke Sukan Olimpik.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh hari ini mengumumkan sukan terjun, badminton, berbasikal, skuasy, renang dan olahraga sebagai penerima dana itu.
“Kita memilih sukan itu kerana kita fikir penting untuk Malaysia mempunyai pelbagai usaha bagi membangunkan bakat bagi sukan ini,” katanya kepada media pada majlis perasmian Kejohanan KBS Masters 2024 di Majlis Sukan Negara hari ini.
Difahamkan, jumlah dana itu akan diputuskan kelak mengikut keperluan setiap sukan yang terlibat.
Hannah ketika mempengerusikan sesi bedah siasat temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 pada 15 Nov lepas mengumumkan angkat berat, memanah, taekwondo dan menembak bakal menerima dana tambahan bagi tujuan pembangunan bakat baharu.
Sementara itu, Hannah berkata penganjuran sulung KBS Masters iaitu kejohanan bagi golongan berusia 40 tahun, berjaya menarik minat lebih 1,500 peserta termasuk beberapa bekas atlet kebangsaan dan selebriti seperti legenda hoki negara Datuk Mirnawan Nawawi.
“Kita wujudkan kejohanan ini supaya golongan ini mempunyai platform untuk bertanding. Dengan adanya pertandingan bermaksud akan ada latihan yang akan menjamin gaya hidup sihat sepanjang masa.
“Saya berharap dengan adanya kesedaran ini, persatuan sukan akan mampu menarik minat warga emas untuk masuk belajar sukan-sukan baru ini. Saya berharap ini akan dijadikan satu acara tahunan selepas ini,” katanya.
-- BERNAMA