Malaysia Raih Dua Emas, Mohamad Aniq Lebur Rekod Kebangsaan Di Fiji

Foto kredit : Persekutuan Angkat Berat Malaysia
17/09/2024 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Jaguh angkat berat negara Mohamad Kasdan menebus kekecewaannya di Sukan Olimpik Paris 2024, apabila merangkul pingat emas kategori 61 kilogram (kg) DI Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2024 di Suva, Fiji hari ini.

Lebih manis, badang berusia 22 tahun itu turut melebur rekod kebangsaan selepas menyempurnakan angkatan keseluruhan 298kg, mengatasi angkatan 297kg yang dilakukannya di Paris 2024, untuk menduduki tempat keempat.

Pingat perak dimenangi Morea Baru dari Papua New Guinea dengan angkatan keseluruhan 265kg manakala gangsa milik seorang lagi badang negara Mohammad Amin Hakimi Mohd Shukry dengan 243kg.

Seorang lagi wakil negara Muhammad Rahimi Sulaiman turut menyumbang pingat emas dalam kategori 55kg selepas melakukan angkatan keseluruhan 228kg.

Beliau menewaskan dua pencabar dari India,  A Maharajan yang membawa pulang perak (217kg) dan Dabulal Hembrom gangsa (202kg).

Kejohanan yang disertai 210 jaguh angkat berat dari 25 negara bermula hari ini hingga 21 Sept.

-- BERNAMA