Paris 2024: Nur Azlia Syafinaz-Nurul Suhada Kurang Satu Pusingan

Nurul Syuhada Zainal (kanan) dan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais.
07/09/2024 12:49 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 6 Sept (Bernama) -- Pelumba berbasikal para negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan jurumudinya Nurul Suhada Zainal hanya berjaya melengkapkan enam pusingan dalam acara perlumbaan lebuh raya wanita B (kecacatan penglihatan) pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Jurulatih berbasikal para negara, Salehuddin Mohd Noh berkata gandingan negara tidak sempat melengkapkan pusingan ketujuh selepas Sophie Unwin-Jenny Holl dari Great Britain menghabiskan perlumbaan sejauh 99.4 kilometer (km) di Clichy-sous-bois terlebih dahulu untuk merangkul emas menerusi catatan 2 jam 37 minit dan 26 saat (s).

“Nur Azlia Syafinaz-Nurul Suhada tidak berjaya melengkapkan pusingan ketujuh kerana gandingan Great Britain terlebih dahulu melintasi garisan penamat pada pusingan akhir," katanya kepada Bernama.

Pingat perak dimenangi Katie-George Dunlevy-Linda Kelly dari Ireland (2:37:29s) dan gangsa disambar Lora Fachie-Corrine Hall dari Great Britain (2:39:01s).

Cabaran skuad berbasikal para akan diteruskan oleh Mohamad Yuso Hafizi Shaharuddin dan Muhammad Adi Raimie Amizazahan yang akan berentap dalam acara perlumbaan lebuh raya lelaki C1-3 (kecacatan fizikal), juga di Clichy-sous-bois, esok.

Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bermula 28 Ogos lepas dijadual menutup tirainya Ahad ini.

-- BERNAMA