B-19 Asean 2024: Skuad Bola Sepak B-19 Muncul Juara Kumpulan C

--foto FB Football Association of Malaysia
25/07/2024 07:36 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Skuad bola sepak bawah 19 (B-19) tahun negara menutup aksi peringkat kumpulan Kejuaraan B-19 ASEAN 2024 dengan bergelar juara biarpun terikat 1-1 dengan Thailand di Stadium Gelora Bung Tomo di Surabaya, Indonesia hari ini.

Dalam aksi pelengkap Kumpulan C itu, rekod baik anak buah Juan Torres Gorrido yang mencatat dua kemenangan tanpa dibolosi sepanjang saingan kumpulan akhirnya tercalar dengan keputusan seri itu.

Thailand terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Caelan Ryan seawal minit keempat.

Kredit: FB-Football Association of Malaysia

Bersambung babak kedua, G. Pavithran berjaya menyamakan kedudukan buat skuad Harimau Muda menerusi sepakan penalti pada minit ke-48 dan keputusan kekal sehingga wisel penamat.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad muda kebangsaan kekal menerajui Kumpulan C berkongsi tujuh mata dengan Thailand di tangga kedua dengan dipisahkan perbezaan jaringan, manakala Singapura (3 mata) dan Brunei (0 mata) masing-masing berada di tangga ketiga dan keempat.

Skuad negara dijadualkan bertemu tuan rumah Indonesia di separuh akhir Sabtu ini selepas pasukan itu menerajui saingan Kumpulan B dengan mencatat tiga kemenangan.

Malaysia memulakan kempen kejuaraan itu dengan bergaya selepas membelasah Brunei 11-0 pada 19 Julai lepas diikuti Singapura 5-0 pada Selasa.

-- BERNAMA