Bernama Ke Paris Untuk Liputan Temasya Sukan Terbesar Dunia

MENARIK...Gegelung Olimpik di Menara Eiffel pasti menjadi daya tarikan yang hebat dan menambahkan suasana meriah sempena Sukan Olimpik Paris 2024.
24/07/2024 09:47 AM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Seiring langkah 26 atlet negara dalam misi memburu pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) juga tidak mahu ketinggalan untuk merakam satu lagi detik penting sukan tanah air menerusi laporan berita terkini perjuangan mereka bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj berkata sebagai agensi berita nasional, Bernama komited untuk menyalurkan berita terkini dan memaparkan kisah-kisah menarik mengenai kejayaan, pengorbanan serta detik emosional atlet negara kepada rakyat Malaysia.

Ketua Meja Sukan Vikneswaran Raman bersama jurugambar Ahmad Iskandar Kamaruzaman yang tiba di Paris pada 23 Julai sebagai persediaan untuk membuat liputan temasya sukan terbesar dunia itu,  akan berada di sana sehingga upacara penutup pada 11 Ogos, bagi memastikan liputan komprehensif kontinjen Malaysia dapat disajikan buat peminat sukan tanah air.

“Sukan Olimpik adalah temasya sukan paling berprestij dan dinnti-nantikan di dunia. Bernama tidak pernah ketinggalan dalam membuat liputan Olimpik sejak sedekad lepas. Kini, kami bersedia untuk satu lagi peristiwa penting dalam liputan Olimpik di Paris, menerusi platform media sosial untuk peminat sukan dan pelanggan.

“Bersama kira-kira 34 juta rakyat Malaysia yang tidak sabar-sabar untuk menyaksikan atlet negara memburu pingat emas Olimpik, Bernama akan membawakan berita-berita menarik dan menyerlahkan perjalanan atlet negara dalam perjuangan mereka untuk menamatkan penantian pingat emas sulung negara di Sukan Olimpik sejak tujuh dekad,” kata Arool Raju.

Olahraga, bola sepak lelaki, badminton, renang, gimnastik, ragbi tujuh sebelah (7s), berbasikal dan bola keranjang adalah antara sukan paling banyak ditonton manakala acara baharu dikenali breakdancing dijangka akan menambah keterujaan kepada keseluruhan 329 acara daripada 32 sukan dipertandingkan pada edisi 2024.

Perkembangan terkini temasya sukan berprestij dunia itu boleh dilayari menerusi semua platform agensi tersebut termasuk Bernama TV, Bernama Radio dan media sosial, selain menerusi laman khas https://olympics.bernama.com/index.php.

Arul Rajoo berkata Bernama TV akan menyiarkan rancangan bual bicara Misi D’or 2024 (Misi Emas) selama 30 minit, pada 8.30 malam bermula 25 Julai hingga 11 Ogos, membawakan berita dan perbincangan mengenai Sukan Olimpik, serta siaran langsung dari Paris untuk mendapatkan perkembangan berita sukan terkini.

Bernama Radio pula akan menyiarkan program dwi-mingguan dikenali Allez la Malaisie’ (Go Malaysia) pada setiap Isnin dan Jumaat, 6.30 petang, bermula 25 Julai hingga 12 Ogos di samping laporan terkini harian.

Kontinjen Malaysia dibarisi 26 atlet yang diketuai Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalannya Datuk Nicol David, akan menyertai sembilan jenis sukan di Paris 2024.

Berikut senarai 26 atlet dan acara sukan disertai:

 

•  Memanah (Recurve): Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh, Nurul Azreena Mohd Fazil

•  Badminton: Lee Zii Jia, Goh Jin Wei, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M. Thinaah, Chen Tang Jie, Toh Ee Wei

•  Akuatik (Terjun): Bertrand Rhodict Lises, Nur Dhabitah Sabri

•  Akuatik (Renang): Khiew Hoe Yan, Tan Ruoxin

•  Berbasikal (Lebuhraya): Nur Aisyah Mohamad Zubir

•  Berbasikal (Trek): Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri

•  Golf: Gavin Green, Ashley Lau

•  Pelayaran: Khairulnizam Mohd Affendy, Nur Shazrin Mohamad Latif

•  Menembak: Johnathan Wong Guanjie

•  Angkat berat: Muhammad Aniq Kasdan

•  Olahraga: Muhammad Azeem Fahmi

 

Malaysia yang membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Melbourne 1956, telah memenangi keseluruhan lapan pingat perak dan lima gangsa, dengan badminton sebagai penyumbang terbesar iaitu enam perak dan tiga gangsa.

-- BERNAMA