Skuad B-19 Negara Diikat Kemboja 2-2

Kredit: FB - Football Association of Malaysia
10/07/2024 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Skuad bawah 19 tahun negara (B-19) hanya mencatatkan keputusan seri 2-2 dalam perlawanan latihan tertutup menentang pasukan B-19 Kemboja di Stadium UiTM, Shah Alam hari ini. 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Facebook memaklumkan pasukan pelawat membuka jaringan apabila Lim Lucca Thong menyempurnakan sepakan penalti pada minit ketujuh perlawanan. 

Skuad negara yang melancarkan serangan bertali-arus menyamakan kedudukan menerusi Muhamad Ridzwan pada minit ke-37 namun tiga minit kemudian, Phoeuk Thatthai kembali meletakkan Kemboja di hadapan.

Pada babak kedua perlawanan, giliran Malaysia dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Haykal Danish pada minit ke-63 sekali gus mengikat keputusan perlawanan hingga tamat permainan.

Sebelum ini, ketua jurulatih B-19 kebangsaan Juan Torres Garrido memanggil 28 pemain untuk menyertai kem latihan pusat selama seminggu bermula Ahad lepas (7 Julai) sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan B-19 ASEAN 2024 di Surabaya, Indonesia pada 17 hingga 29 Julai  ini. 

Malaysia akan membuka saingan Kumpulan C menentang Brunei pada 19 Julai diikuti aksi kedua menentang Singapura pada 22 Julai, kedua-duanya di Stadium Gelora manakala aksi ketiga menentang Thailand pada 25 Julai di Stadium Gelora Bung Tomo.

Juara kumpulan serta satu naib juara kumpulan terbaik akan layak ke separuh akhir pada 27 Julai sebelum aksi penentuan tempat ketiga dan final berlangsung pada 29 Julai. 

-- BERNAMA