Makaf Kemuka Rayuan Kepada Thailand

24/06/2024 01:36 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) akan mengemukakan rayuan kepada tuan rumah Thailand, untuk menyenaraikan semula karate untuk dipertandingkan di Sukan SEA 2025.

Presiden MAKAF Datuk Nur Azmi Ahmad berkata Malaysia tidak bersendirian dalam mengemukakan rayuan apabila turut disertai beberapa negara yang mahukan sukan itu kembali dalam senarai.

“Semua Presiden daripada ASEAN sudah bersetuju memohon rayuan di peringkat Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) negara masing-masing untuk hantar surat kepada LOC Thailand supaya karate sertai Sukan SEA 2025..

“Kita akan berbuat demikian secepat mungkin. Setakat ini tiga LOC sudah hantar surat kepada badan induk karate Asia Tenggara jadi kita tunggu lagi lapan hingga sembilan negara lain untuk berbuat demikian,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Nur Azmi berkata setakat ini hanya Singapura belum membuat keputusan untuk menghantar rayuan.

“Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sedang berusaha berbincang dengan menteri berkaitan di Singapura untuk sama-sama berbuat demikian. Sekiranya mereka (Singapura) sertai maknanya semua negara bersetuju untuk karate ada di Sukan SEA Thailand,” katanya.

Sebelum ini, pada mesyuarat jawatankuasa Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) memaklumkan beberapa sukan tradisi yang menjadi lubuk emas negara seperti karate, angkat berat dan wushu dikeluarkan daripada senarai acara dipertandingkan di temasya itu.

Sebaliknya SEAGF mencadangkan 40 sukan berserta cakera terbang dan tarik tali sebagai sukan demonstrasi sempena Sukan SEA ke-33 yang dijadualkan dari 9 hingga 20 Dis tahun depan di Bangkok, Chonburi dan Songkhla.

Sebagai tuan rumah, Thailand mempunyai masa kira-kira 15 bulan untuk memuktamadkan senarai sukan yang akan dipertandingkan manakala tarikh tutup bagi mengemukakan rayuan itu adalah pada 31 Ogos ini.

-- BERNAMA