Sukan Sea 2025: Malaysia Kemukakan Rayuan Selepas Pengecualian Karate, Wusyu
KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk memasukkan beberapa sukan berpotensi pingat bagi Malaysia dalam Sukan SEA 2025 di Thailand.
Thailand, semasa mesyuarat Jawatankuasa Sukan dan Peraturan SEAGF baru-baru ini di Bangkok, telah mencadangkan 40 sukan berserta cakera terbang dan tarik tali sebagai sukan demonstrasi sempena Sukan SEA ke-33 yang dijadualkan dari 9-20 Dis tahun depan di Bangkok, Chonburi dan Songkhla.
Bagaimanapun, karate dan wusyu yang merupakan lubuk pingat emas negara, serta ju-jitsu, boling padang dan sukan Olimpik angkat berat dikeluarkan daripada senarai.
Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria hari ini berkata badan induk itu dalam proses mengumpul maklum balas daripada persatuan sukan kebangsaan (NSA) terlibat untuk mengemukakan rayuan bagi menyenaraikan sukan-sukan berpotensi tersebut sebelum tarikh tutup 31 Ogos ini.
"Di bawah Piagam dan Peraturan SEAGF, setiap negara tuan rumah berhak untuk mencadangkan senarai sukan awal dari pelbagai kategori selepas perbincangan dengan kerajaan mereka. Ini tertakluk kepada kelulusan akhir oleh Majlis SEAGF selepas mempertimbangkan rayuan dari negara-negara lain."
"Pertama, NSA tempatan mesti melobi dan kemudian sukan tersebut mesti mewakili majoriti daripada 11 negara yang bertanding, dengan setiap acara mesti mempunyai penyertaan minimum dari empat negara.
"Inilah proses yang akan diikuti oleh semua pihak, dan senarai akhir mesti disahkan sekurang-kurangnya 15 bulan sebelum majlis pembukaan, iaitu sekitar 9 Sept tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Kursus Penyegaran Pengadil Antarabangsa Taekwondo Kyorugi dan Poomsae Dunia di Wisma OCM di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pengecualian angkat berat, Mohamad Norza berkata perkara itu disebabkan oleh pelanggaran doping di negara tuan rumah, namun memandangkan banyak negara yang mahukan sukan Olimpik popular itu diadakan, beliau berharap rayuan tersebut menerima maklum balas positif.
Sementara itu, MOM dalam kenyataan mengumumkan bahawa Mohamad Norza telah dilantik sebagai Naib Pengerusi Kedua Jawatankuasa Eksekutif SEAGF dalam mesyuarat yang sama.
"Ini selaras dengan Artikel 11.3 Piagam dan Peraturan SEAGF dan berdasarkan hak Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA seterusnya, edisi ke-34 pada 2027," menurut kenyataan itu.
Pada Sukan SEA Kemboja 2023, kontinjen negara mempamerkan prestasi terburuk, menamatkan temasya di tempat ketujuh dengan 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa setelah gagal mencapai sasaran 40 emas.
Karate menyumbang empat pingat emas, dua perak dan empat gangsa, manakala wusyu membawa pulang dua emas, dua perak dan enam gangsa, manakala angkat berat dan ju-jitsu masing-masing meraih satu gangsa.
Boling padang, satu lagi prospek kuat untuk Malaysia, kali terakhir dipertandingkan dalam Sukan SEA 2019, ketika skuad negara menyapu bersih empat emas dan dua gangsa daripada enam acara yang dipertandingkan.
Senarai sukan yang dicadangkan untuk Sukan SEA 2025:
Kategori I A (Sukan Wajib): Akuatik dan Olahraga.
Kategori I B (Sukan Wajib & Olimpik): Memanah, Badminton, Bola Keranjang, Kanu & Mendayung, Berbasikal, Ekuestrian dan Polo, Lawan Pedang, Bola Sepak & Futsal, Golf, Gimnastik, Bola Baling, Hoki, Judo, Ragbi, Pelayaran, Menembak, Ping Pong, Taekwondo, Tenis, Triatlon, Bola Tampar, Gusti, Luncur Ais, Hoki Ais dan Pentatlon Moden.
Kategori II (Sukan dalam Sukan Olimpik & Asia): Besbol & Sofbol, Biliard & Snuker, Tinju, Bola Lantai, E-Sukan, Muay, Bola Jaring, Pencak Silat, Petanque, Sepak Takraw & Chinlone dan Skuasy.
Kategori III (Sukan Lain): Teqball dan Kickboxing.
Sukan Demonstrasi: Cakera Terbang dan Tarik Tali.
-- BERNAMA