Paralimpik: Mpm Cadang Peserta Kontinjen Negara Pakai Alat Pengesan Di Paralimpik Paris

18/04/2024 08:13 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bercadang untuk memakaikan alat pengesan pada tangan kepada seluruh peserta kontinjen negara yang akan menyertai Sukan Paralimpik Paris bermula 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata ia bertujuan untuk memastikan keselamatan atlet dan pegawai sentiasa terjaga ekoran beberapa laporan terhadap risiko keselamatan di Paris ketika temasya Olimpik (26 Julai hingga 11 Ogos) dan Paralimpik.

"Tujuan alat pengesan ini dipasang untuk kita memastikan kedudukan setiap atlet di Paris nanti. Kadang-kadang bila atlet habis acara awal, dia nak berjalan-jalan dan membeli-belah, kalau ada perkara buruk terjadi bagaimana kita hendak hubungi mereka?

"Jadi ini adalah satu idea yang kami akan cuba dan kita akan dibekalkan tablet untuk melihat pergerakan atlet sama ada mereka di stadium atau di perkampungan atlet," katanya selepas Majlis Penutup Kem 1 Program Rimau Emas di Pusat Kecermelangan Paralimpik di sini, hari ini.

Namun, katanya cadangan itu perlu mendapat kelulusan ketika mesyuarat pendaftaran pradelegasi di Paris pada Jun ini selepas dibentangkan pada mesyuarat Majlis Paralimpik Asia (APC) di Beijing, Mac lalu.

"Keselamatan atlet memang keutamaan kami, tetapi masih ada peraturan yang kita kena ikut. Keputusan muktamad mengenai perkara berkenaan mungkin hanya dimaklumkan sebulan sebelum temasya bermula hujung Ogos ini,” katanya.

Sementara itu, seramai 45 murid berkeperluan khas, 14 jurulatih dan 13 guru pengiring menyertai kem 1 Program Rimau Emas anjuran bersama MPM dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) selama tiga hari bermula Selasa lepas. 

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MPM Datuk R. Subramaniam mengesahkan seramai 11 atlet negara telah layak ke Paralimpik Paris setakat ini, terdiri daripada sukan olahraga, berbasikal, memanah, renang dan powerlifting.

-- BERNAMA