Mohd Rizzua Tekad Lebur Rekod Rayzam Shah Dalam Masa Dua Tahun

Mohd Rizzua Haizad Muhamad
09/04/2024 12:07 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Atlet 110m (meter) lari berpagar kebangsaan Mohd Rizzua Haizad Muhamad bertekad untuk memecahkan rekod kebangsaan acara itu yang menjadi milik Rayzam Shah Wan Sofian yang dipegang sejak 2017, dalam tempoh dua tahun akan datang.

Mohd Rizzua berkata sasaran itu ditetapkan setelah merasakan prestasinya kian meningkat selepas mendapat sentuhan legenda olahraga negara Nur Herman Majid, sejak tahun lepas.

“Insya-Allah.. saya sasar untuk capai kemuncak dalam masa dua tahun lagi. Jika saya benar-benar fit, saya harap dapat pecah rekod kebangsaan,” katanya kepada Bernama.

Rayzam Shah mencatat kepantasan 13.67 saat (s) ketika menjuarai final sebuah kejohanan di Weinheim, Jerman pada 2017, sekali gus meleburkan rekod kebangsaan berusia 23 tahun milik Nur Herman iaitu 13.73s pada Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun.

Atlet berusia 27 tahun itu berkata dorongan serta bimbingan diberikan Nur Herman sepanjang latihan ternyata membuahkan hasil apabila beliau berjaya memperbaiki rekod peribadi terbaiknya 13.85s yang dilakarnya pada Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Bangkok, Thailand.

“Banyak saya pelajari daripada Nur Herman seperti teknik larian kerana beliau sangat ‘gempak’ dari segi itu, jadi satu kerugian jika saya tidak manfaatkan apa yang saya dapat darinya” kata Mohd Rizzua.

Selain memecahkan rekod kebangsaan, atlet dari Kota Samarahan, Sarawak itu juga memasang impian untuk merangkul pingat pada Sukan SEA akan datang.

Beliau yang pernah beraksi sebanyak dua kali di pentas temasya dwitahunan itu belum pernah memenangi sebarang pingat ketika edisi 2017 di Kuala Lumpur dan 2021 di Hanoi, Vietnam.

Sementara itu Mohd Rizzua berkata setakat ini beliau dijadual menyertai beberapa kejohanan luar negara termasuk Terbuka Taiwan 2024 pada Jun sebelum mengharungi kempen Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Surabaya dan Malang, Indonesia.

AUG 2024 dijadual berlangsung dari 25 Jun hingga 6 Julai ini.

-- BERNAMA