Mike Mahen Ucap Selamat Tinggal Kepada Pertandingan Sukan Bina Badan

Jaguh bina badan negara Datuk Syarul Azman Mahen Abdullah (Gambar fail)
22/03/2024 12:20 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Atlet bina badan negara Datuk Syarul Azman Mahen Abdullah hari ini mengumumkan persaraannya selepas 26 tahun berkecimpung dalam arena sukan bina badan.

Syarul Azman lebih dikenali sebagai Mike Mahen, 51, ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media hari ini, beliau menyifatkan perjalanannya dalam sukan itu sudah sampai ke kemuncak dengan mencatat pencapaian membanggakan dalam pelbagai kejohanan.

Badang negara itu berkata sekarang merupakan masa yang paling sesuai untuk bersara selepas mengambil kira kecederaan dan faktor usia, selain tidak berupaya memberikan saingan sengit dalam kejohanan-kejohanan yang ingin disertainya lagi.

“Kecederaan (lutut kanan dan bahu sejak 2001) dialami mengambil masa lama untuk pulih disebabkan faktor usia.

“Setiap kali jalani latihan ia terus mendatangkan kesakitan jadi saya buat keputusan masanya sudah tiba untuk berhenti sebagai seorang atlet dan sumbang perkongsian pengalaman kepada atlet akan datang," katanya di sini hari ini.

Syarul berkata hasratnya untuk bersara itu mula terlintas sejak tahun lepas apabila beliau mengungguli Kejohanan Bina Badan Asia yang berlangsung di Nepal pada September.

“Semasa kejohanan itu mula berfikir bolehkah saya menang kejohanan dunia di Korea Selatan pada November kerana keadaan bahu saya yang masih sakit. Saya cuba lihat pada bulan Januari dan Februari lepas sama ada boleh pulih untuk terus bertanding, tapi sukar nampaknya,” katanya.

Sepanjang berkecimpung dalam sukan bina badan, beliau berjaya bergelar juara dunia dan juara Asia enam kali serta pernah menghadiahkan satu pingat emas pada Sukan SEA di Hanoi.

Namun beliau akan terus menabur bakti dalam sukan bina badan apabila dilantik selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) bagi penggal 2024/2025 yang turut diumumkan tadi.

Sementara itu Presiden MBBF Mej Jen (B) Datuk Dr. Ahmad Badrus Othman merakamkan penghargaan kepada beliau yang telah menyumbang kepada pelbagai kejayaan buat badan induk sukan itu selain berharap beliau mampu menjalankan tugas diamanahkan.

“Kami harap dengan pengalaman dimiliki beliau boleh membantu bagi menentukan siapa yang betul-betul boleh berkecimpung dalam sukan bina badan. Beliau juga mampu membentuk atlet bina badan dari segi mental dan fizikal selain memberikan cara latihan yang betul,” katanya.

-- BERNAMA