Brendon Lakar Kejutan Atasi Juara Bertahan Sukan Sea

Brendon Ting Li King
03/03/2024 06:21 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Atlet dari Sarawak Brendon Ting Li King, melakar kejutan meraih emas acara lompat kijang Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers 2024 di sini, hari ini.

Catatan 15.56 meter (m) Brendon yang mewakili Kawan Athletics itu, sudah cukup untuknya muncul juara sekali gus mengenepikan cabaran dari juara bertahan Sukan SEA Andre Anura Anuar, yang merekodkan lompatan sejauh 15.39m, untuk pingat perak.

Pingat gangsa dimenangi Andrew George Medina dari Singapore Sports School dengan catatan 15.29m.

Brendon, yang pernah mewakili negara pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, mengakui Andre Anura bukan berada dalam prestasi terbaiknya sekali gus menggunakan kesempatan tersebut untuk menguasai acara itu pada kejohanan berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

“Saya dapat rasakan berada dalam prestasi terbaik hari ini dan Andre pula beraksi kurang bagus. Saya harap pencapaian hari ini mampu membuka jalan bagi saya, untuk kembali beraksi pada Sukan SEA 2025 di Thailand,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Atlet berusia 22 tahun itu juga bertekad bekerja keras bagi memastikan beliau mampu mencapai sasaran memperbaharui rekod peribadi terbaiknya iaitu 15.62m, ketika Terbuka Kuala Lumpur 2022 pada Terbuka Malaysia 2024, Jun nanti.

Dalam pada itu, Andre Anura, yang tetap berpuas hati walaupun gagal membawa pulang emas pada kejohanan hari ini, akan mengalih tumpuan untuk membuat penampilan sulung dan mencapai kedudukan podium pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia, Jun ini.

Sementara itu, pelari kebangsaan, Mohd Rizzua Haizad Muhamad menepati ramalan apabila mengungguli acara 110m lari berpagar lelaki dengan mencatatkan 14.27 saat (s).

Atlet berusia 26 tahun itu menumpaskan atlet Majlis Sukan Negeri Sarawak Elvin Yap, yang menang perak dengan 14.57s, manakala Muhammad Shahrul Aiman dari Johor pula membawa pulang gangsa dengan 15.13s.

Pelari dari Kota Samarahan, Sarawak itu mengakui bermula agak perlahan di peringkat awal perlumbaan sebelum berjaya mendapatkan rentak untuk mengatasi Elvin setibanya di garisan penamat.

“Walaupun bermula agak perlahan namun saya tak patah semangat untuk kejar Elvin,” katanya.

-- BERNAMA