Ervin Berazam Lakukan Yang Terbaik Pada Golf Terbuka Malaysia

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (dua, kiri) menyaksikan penyerahan pemeteraian perjanjian penajaan antara CIMB Bank Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Pengguna & Digital Kumpulan CIMB, Effendy Shahul Hamid (kanan) dan pemain golf, Ervin Chang (kiri) di Menara CIMB hari ini. Turut serta Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Mohd Nasir Ahmad (dua, kanan).
12/02/2024 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Pemain golf negara Ervin Chang berazam melakukan yang terbaik apabila turun beraksi pada Kejohanan Golf Terbuka Malaysia di Mines Resort and Golf Club, Seri Kembangan dekat sini bermula Khamis ini.

Pemenang dua pingat emas di Sukan SEA Hanoi 2021 itu berkata secara mental beliau sudah bersedia memberi saingan sengit kepada pemain-pemain golf negara lain pada kejohanan yang juga merupakan kelayakan untuk kejohanan Terbuka British (The Open) 2024 yang berprestij.

Kejohanan The Open ke-152 dijadualkan dari 18 hingga 21 Julai di Kelab Golf Royal Troon di Scotland.

Ervin Chang

The Open ialah kejohanan golf tertua di dunia, bermula pada 1860 dan menawarkan hadiah wang tunai bernilai US$16.5 juta pada edisi 2023.

“Saya bekerja keras semasa di luar musim, mencuba yang terbaik untuk melonjakkan tahap kemahiran saya, penumpuan mental saya dan cuba belajar sementara menyesuaikan diri dengan lebih baik dalam permainan.

“Saya berehat sehari semalam untuk menyambut Tahun Baharu Cina, saya sudah bersedia untuk bertanding sejak dua minggu lepas. Saya akan lakukan yang terbaik di sana,” Majlis Penandatanganan Penajaan CIMB Group Holdings Berhad untuk dirinya di sini hari ini. 

Ervin merupakan penerima terbaharu tajaan CIMB selepas jaguh berbasikal negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang. Sebelum ini, bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol David juga pernah menerima tajaan CIMB.

Pencapaian terbaik oleh pemain golf tempatan pada Terbuka Malaysia sejak penganjurannya pada 1962 ialah melalui mendiang P. Gunasegaran yang menduduki tempat kedua pada edisi 1994, selepas tewas kepada pemain Sweden Joachim Haeggman dalam aksi lapan lubang mendebarkan pada perlawanan penentuan.

-- BERNAMA