Sukan Sea: Mom Mahu Acara Sukan Edisi 2025 Selari Dengan 2027

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria (kanan) mengadakan sidang media selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM kali ke-206 & Perhimpunan Agung Tahunan kali ke-42 di Akademi Badminton Bukit Kiara hari ini. Turut hadir, Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib (kiri).
16/12/2023 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahu acara sukan yang dipertandingkan ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027, selari dengan ditawarkan hos edisi 2025 di Thailand.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, akan memberi cadangan kepada Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) agar acara sukan dipertandingkan di Thailand itu, tidak banyak beza dengan edisi 2027.

Beliau berkata pendekatan tersebut penting, dalam memastikan terdapat kesinambungan berhubung program sukan khususnya buat barisan pelapis, yang bakal menyahut cabaran negara pada edisi 2025 dapat mencapai kemuncak prestasi dua tahun kemudian di sini.

“Kita mahu MOM dan Majlis Sukan Negara bekerjasama tentukan sukan-sukan dipertandingkan pada edisi 2027 tidak banyak beza dengan edisi 2025, supaya program kita ini konsisten manakala pelapis yang kita perkenalkan di Thailand akan berada pada tahap tertinggi, ketika kita jadi tuan rumah nanti.

“Jadi kita harap segala dirancang akan jadi lancar, jika tiada koordinasi, tanpa fikir pelan untuk Sukan SEA 2025 atau 2027, mungkin terdapat kepincangan yang akan berlaku,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM kali ke-26 dan Perhimpunan Agung Tahunan Kali ke-42 di sini, hari ini.

Thailand bakal menjadi tuan rumah edisi ke-33 di tiga bandar utama iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla dari 9 hingga 20 Dis, 2025.

Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata lokasi utama penganjuran Sukan SEA 2027 bakal ditetapkan, sejurus MOM mendapatkan sokongan daripada kerajaan untuk menjadi hos temasya sukan dwitahunan tersebut

“Sebaik kerajaan kata ya, kami akan tetapkan dan mulakan kerjasama antara kerajaan dan MOM. Di mana kita akan bincangkan secara menyeluruh di mana mahu buat, sama ada Kuala Lumpur atau negeri lain, kami akan terus maklumkan anda mengenai perkata itu,” katanya.

Beliau pada masa sama berharap jawatankuasa khas pertandingan untuk Sukan SEA 2027 seperti yang pernah dilakukan pada edisi 2017 menerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC) dapat ditubuhkan bagi memastikan kesemua dirancang berjalan dengan jayanya.

-- BERNAMA