80 Resolusi Perkasa Peranan Wanita Dalam Bidang Sukan

Prof Datuk Dr S. Shamala
16/11/2023 09:04 PM

SUBANG JAYA, 16 Nov (Bernama) -- Sebanyak 80 resolusi dicapai pada Persidangan Wanita dalam Sukan ASEAN 2023 sebagai usaha memperkasa serta meningkatkan peranan wanita dalam bidang sukan tanah air dan serantau. 

Ketua moderator persidangan Prof Datuk Dr S. Shamala berkata antara resolusi utama adalah cadangan untuk meletakkan kuota 30 peratus wanita dalam kepimpinan tertinggi di persatuan-persatuan sukan dan tidak terbatas setakat ahli jawatankuasa (AJK) sahaja.

"Jawatan mesti bukan AJK sahaja, tapi jawatan yang boleh buat keputusan kerana kadang-kadang sebagai seorang AJK, suara tak berapa kuat," katanya kepada pemberita pada majlis penutupan persidangan itu di sebuah hotel di sini oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.

Persidangan tiga hari sejak Selasa itu disertai tujuh wakil ASEAN daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Loas, Myanmar, Filipina dan Singapura selain lebih 100 peserta merangkumi atlet, bekas atlet, pengamal media, pensyarah dan pakar sukan.

Shamala berkata resolusi lain yang disuarakan adalah program pertukaran antara jurulatih tempatan dengan jurulatih dari rantau ASEAN selain mengalakkan media memberi kesedaran meluas agar wanita turut diberi perhatian dalam bidang sukan.

Beliau berkata semua resolusi memfokuskan kepada empat teras iaitu Kepimpinan, Kejurulatihan, Gaya Hidup Aktif dan Suara serta Keterampilan.

Resolusi itu katanya akan diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk dibawa ke Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan ASEAN tahun depan. 

Sementara itu, Adam Adli berkata semua resolusi itu akan memberi pendedahan dan kesedaran mengenai cabaran yang dihadapi wanita dalam bidang sukan.  

“Saya yakin kerjasama baik antara negara serantau ASEAN lain boleh mencapai kesepakatan untuk kita lihat bagaimana golongan wanita diperkasakan dalam sukan dan kita harap persidangan ini menjadi medan untuk kita cambahkan setiap idea.

“Di Malaysia pencapaian atlet wanita dalam sukan dilihat sangat sihat, bagaimanapun bidang kepimpinan dan pengurusan memerlukan tumpuan dan penglibatan golongan wanita adalah satu keperluan,” katanya kepada pemberita selepas majlis. 

-- BERNAMA