Atlet Para Judo, Olahraga Terima Pengiktirafan Khas Daripada Mab
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Dua atlet para negara menerima Anugerah Pengiktirafan Khas daripada Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) hari ini atas kecemerlangan mereka menghadirkan kilauan emas untuk Malaysia dalam sukan judo dan olahraga pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Phnom Penh, Kemboja, Jun lepas.
Pengiktirafan itu membolehkan atlet olahraga Mohamad Saifuddin Ishak dan atlet judo Muhammad Fatah Abu Bakar masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000, trofi dan sijil yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Zuhami Omar pada majlis Anugerah Pencapaian Kecemerlangan MAB 2021/2022, di sini hari ini.
Dalam temasya sukan itu, Mohamad Saifuddin menyerlah menerusi acara lompat jauh T11-12 manakala Muhammad Fatah, judo kategori J2 kelas -73 kilogram.
Mohamad Saifuddin, 31, ketika ditemui Bernama berkata anugerah itu dihadiahkan kepada keluarga dan isterinya yang sentiasa memberi sokongan sejak terlibat dalam sukan, lebih 10 tahun lepas.
“Saya sudah beberapa kali memperoleh emas untuk Malaysia dalam kejohanan besar, namun ini kali pertama saya diiktiraf anugerah ini (daripada MAB). Sudah tentu ia menyuntik semangat saya untuk mencapai kejayaan yang lebih besar, walaupun akan ada halangan tertentu saya fikir itu perkara biasa untuk mencapai kejayaan.
“Saya juga berharap anugerah ini memberi inspirasi kepada diri untuk berkhidmat kepada atlet pelapis bagi mengembangkan lagi pembangunan olahraga di akar umbi,” katanya yang memiliki seorang anak.
Muhammad Fatah, 37, pula berkata dia tidak menyangka dipilih untuk menerima pengiktirafan itu, namun berharap ia dapat memotivasikan sesiapa sahaja untuk berusaha mencapai impian masing-masing.
“Jangan pernah rasa sedih dengan perkara yang kita usahakan kerana jika diusahakan bersungguh-sungguh selain berkat dan sokongan orang sekeliling, ia pasti membuahkan hasil.
“Moga ini permulaan kepada pengembangan yang baik dalam sukan judo kerana umum tahu sukan ini agak ‘tertutup’ kepada orang buta (masalah penglihatan),” katanya yang berasal Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Selain Mohamad Saifuddin dan Muhammad Fatah, MAB turut memberi penghargaan kepada 17 Orang Kurang Upaya lain menerusi tujuh kategori atas sumbangan mereka kepada negara dan masyarakat antaranya Anugerah Pencapaian Akademik, Anugerah Pencapaian Usahawan, Anugerah Pencapaian Muzik dan Anugerah Pengiktirafan Komuniti.
-- BERNAMA