Boling Padang, Snuker Bakal Disenarai Dalam Program Podium
KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Permintaan Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) supaya atletnya disenaraikan dalam Program Podium bakal ditunaikan oleh Majlis Sukan Malaysia (MSN).
Pengarah Bahagian Atlet MSN Jefri Ngadirin berkata sukan seperti boling padang, snuker dan billiards, serta kick boxing sememangnya dalam perancangan agensi berkenaan untuk disenaraikan dalam program penyediaan atlet elit itu.
Beliau berkata pihaknya kini dalam perancangan penyenaraian jenis sukan dan program penyediaan atlet untuk menghadapi tiga temasya Sukan SEA akan datang iaitu edisi 2025 di Thailand, Malaysia (2027) dan Singapura (2029).
“Bagi boling padang, mereka tidak perlu risau kerana memang akan disenaraikan sebab kalau ikut track record, memang ada dalam senarai sukan yang akan dipertandingkan di Thailand, dan sudah pasti Malaysia juga akan menganjurkannya.
“Sebelum ini, boling padang dalam Program Podium ketika persiapan ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, tetapi dikeluarkan kerana sukan berkenaan tidak dipertandingkan pada Sukan SEA Kemboja (Mei lepas) dan Sukan Asia Hangzhou (September ini),” katanya ketika ditemui semasa lawatan Ketua Kontinjen Sukan Asia 2022 Datuk Chong Kim Fatt ke latihan skuad sepak takraw, di sini hari ini.
Susulan kejayaan Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi muncul juara acara pairs wanita Kejohanan Boling Padang Dunia di Gold Coast, Austalia pada Sabtu lepas, Presiden PLBM Datuk Awalan Abdul Aziz meminta sukan itu kembali disenaraikan dalam Program Podium supaya adanya struktur sistem sokongan yang baik.
Sementara itu, Jefri berkata antara kriteria pemilihan atlet ke Program Podium adalah penyumbang pingat emas pada Sukan SEA Kemboja, yang akan disenaraikan secara sepenuh masa bagi mengekalkan atau meningkatkan lagi kecemerlangan mereka.
Turut diberi tumpuan adalah pemenang pingat lain di Kemboja 2023, dan sukan-sukan yang bakal dipertandingkan pada tiga edisi Sukan SEA akan datang.
“Kita akan mengadakan taklimat dan bengkel bersama persatuan sukan yang terlibat pada November ini, kemudiannya membincangkan keputusan pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja pada Disember yang turut melibatkan persatuan, Majlis Olimpik Malaysia dan Institut Sukan Negara,” katanya.
-- BERNAMA