Amms Setuju Pelan Untuk Pembangunan Sukan Asean 2021-2025 Dilaksanakan

01/09/2023 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Berkaitan Sukan (AMMS) bersetuju dengan Pelan untuk Pembangunan Sukan ASEAN 2021-2025 yang membabitkan negara ASEAN, dilaksanakan.

Perkara itu dicapai pada mesyuarat lima hari yang diadakan di Chiang Mai, Thailand sejak Isnin lepas yang dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Dr K. Nagulendran.

KBS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, mesyuarat sebelum itu turut membincangkan dan membuat semakan ke atas kemajuan pelaksanaan inisiatif di bawah pelan itu, selain mengkaji impak pelaksanaan menuju ke arah pembangunan Rancangan Kerja ASEAN dalam Sukan 2026-2030.

Selain itu, perbincangan membabitkan promosi dan pemeliharaan sukan tradisi serta penglibatan wanita dalam sukan turut diadakan, di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Wanita ASEAN dalam Sukan yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 16 Nov ini.

Turut dibincangkan ialah mengenai kesediaan anggota ASEAN mendalami kriteria dalam usaha membida Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2034, yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) melalui platform Memorandum Persefahaman ASEAN-FIFA, yang ditandatangani pada 2 Nov 2019.

Kenyataan itu memaklumkan Malaysia juga telah menyatakan kesediaan untuk menjadi negara hub kecemerlangan sukan bagi bidang kejurulatihan sukan di peringkat ASEAN dan ia memerlukan kerjasama semua negara anggota serta sokongan rakan dialog.

“Mesyuarat Peringkat ASEAN berkaitan sukan ini, dilihat sebagai platform penting di rantau ini dalam meningkatkan kerjasama berkaitan pembangunan sukan, di samping menggunakan sukan sebagai perantara perpaduan dan kesejahteraan serta potensi penjanaan ekonomi melalui industri sukan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA