Jing Xuen Tamat Saingan Di Tempat Ketiga Kejohanan Berpasukan Golf Amatur Sea

Ng Jing Xuen ketika beraksi pada Kejohanan Berpasukan Golf Amatur SEA yang berlangsung di Kelab Golf Mines Resort, Seri Kembangan hari ini.
24/08/2023 08:16 PM

SERI KEMBANGAN, 24 Ogos (Bernama) -- Atlet muda negara Ng Jing Xuen menamatkan saingan di tempat ketiga Piala Santi ke-12 Kejohanan Berpasukan Golf Amatur SEA di Kelab Golf Mines Resort di sini hari ini. 

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 itu melakukan satu di bawah par 283 untuk berada satu pukulan di belakang naib juara dari Hong Kong Sophie Han.

Pemain Thailand Suvichaya Vinijchaitam muncul juara saingan itu selepas mencatat lima di bawah par 279.

Jing Xuen, 15, turut membantu pasukan wanita memenangi pingat gangsa Piala Santi ke-12 bersama rakan sepasukan Charlayne Chong dan Wang Xin Yao dengan keseluruhan 578 mata. 

“Saya terkejut sebab menyangka menduduki tempat keempat...namun saya tidak berpuas hati dengan permainan saya hari ini. Saya boleh lakukan lebih baik, pada masa depan saya harap akan lebih tenang dan berhati-hati.

"Saya tiada sasaran (pada kejohanan kali ini) jadi saya hanya ikut perancangan yang disusun. Saya melakukan pukulan demi pukulan tapi kurang memuaskan. Secara keseluruhannya saya gembira dapat tempat ketiga,” katanya kepada Bernama.

Seorang lagi sandaran negara, Malcolm Ting pula menduduki tempat kelapan selepas mengumpul 284 dalam saingan Piala Putra ke-60, kejohanan sama. 

Pemenang pingat perak Sukan SEA 2023 itu nyata kecewa dengan prestasi kurang memberangsangkan yang ditampilkan pada penampilan keduanya dalam saingan berkenaan selepas edisi 2019 di Hanoi, Vietnam.

“Dua hari pertama merupakan hari yang baik tapi dua hari terakhir, saya rasa tidak begitu baik, kehilangan rentak dalam pukulan dan hantaran. Saya agak kecewa kerana ini mungkin menjadi Piala Putra terakhir saya sebab akan beralih sebagai pemain profesional.

"Saya perlu memperbaiki kesilapan kerana saya sudah bersedia untuk kejohanan golf profesional. Tapi saya perlu bekerja keras untuk menghasilkan pukulan lebih baik,” katanya.

Pasukan lelaki yang dibarisi Malcolm, Nateeshvar Anatha Ganesh, Anson Yeo dan Zia Iqmal Abdul Rashid menamatkan cabaran berpasukan Piala Putra di tempat kelima daripada sembilan pasukan. 

Kejohanan Berpasukan Golf Amatur SEA menyaksikan pemain bersaing dalam empat acara ikonik iaitu Piala Putra ke-60, Piala Lion City ke-14, Piala Santi ke-12 dan Piala Kartini ke-8.

-- BERNAMA