Skuad Berbasikal Negara Tidak Dapat Basikal Model Baharu Untuk Olimpik Paris

05/06/2023 11:02 PM

NILAI, 5 Jun (Bernama) -- Skuad berbasikal negara terpaksa menggunakan basikal yang ada dengan sedikit pelarasan kerana mereka tidak akan mendapat model basikal terbaharu untuk Sukan Olimpik 2024 di Paris. 

Ketua Jurulatih Skuad Berbasikal negara John Beasley berkata kelulusan geran yang lewat selain ketiadaan masa yang mencukupi untuk basikal itu dibangunkan dan layak digunakan dalam temasya sukan berprestij itu.  

Beasley berkata kesemua basikal baharu perlu didaftarkan dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa  (UCI) menjelang Ogos dan digunakan dalam Kejohanan Dunia Glasgow dari 3 hingga 13 Ogos ini untuk layak ke Sukan Olimpik tahun depan, jadi pasukan hanya mampu melakukan sedikit penambahbaikan kepada model yang digunakan sekarang.  

“Basikal (yang ditambah baik) adalah lebih kurang sama (dengan basikal semasa). Kami akan mengkaji untuk mengubah sedikit bentuknya, melicinkan bucu-bucunya dan aspek struktur-struktur kecil bagi melihat bagaimana kami boleh membuatkannya lebih kukuh, ringan dan tegar selain daripada membuatkannya lebih aerodinamik.

Ya kami akan menggunakan acuan sama (seperti basikal lama), kami tidak mempunyai pilihan kerana kami tidak memiliki masa yang cukup.  Peruntukan hanya tiba pada Februari,” katanya kepada wartawan hari ini selepas bertemu dengan Ketua Kontijen Olimpik Paris Datuk Hamidin Mohd Amin di Velodrom Nasional di sini hari ini.

Beasley merujuk kepada basikal Vorteq WX-R yang kini digunakan oleh skuad berbasikal negara yang dibangunkan antara 2018 hingga 2020 dengan kos RM13 juta. 

Basikal itu telah digunakan dalam Olimpik Tokyo dengan Datuk Mohd Azizulhasni Awang memenangi pingat perak dalam acara keirin dan membantu pelumba negara memperoleh penyudah podium dalam banyak perlumbaan semenjak itu. 

Mengulas mengenai pembangunannya, Mohd Azizulhasni berkata beliau tidak ada masalah dengan keputusan itu dan bersetuju itu adalah pilihan terbaik untuk pasukan.

“Saya boleh katakan basikal kami adalah antara yang terbaik. 

Sebab basikal ni datang bukan hanya basikal sahaja, dia punya teknologi, peletakan semua, Macam saya punya basikal cocok buat saya. Jadi kalau kita nak buat basikal baharu ke, mula dari awal, membuang masa, dah tak sempat,” katanya. 

-- BERNAMA