Apg 2023: Muhammad Nazmi Berjuang Untuk Arwah Ibu

Muhammad Nazmi Nasri
02/06/2023 02:47 PM

Daripada Farah Najihah Zuraimi

PHNOM PENH, 2 Jun (Bernama) -- Walaupun baru kehilangan ibu tercinta Selasa lepas, atlet para olahraga negara Muhammad Nazmi Nasri tetap meneruskan perjuangan di Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di sini, yang akan bermula secara rasmi esok hingga 11 Jun.

Atlet kelahiran Batu Pahat, Johor itu memberitahu Bernama, arwah ibunya Kamariah Kasrin meninggal dunia pada usia 49 tahun akibat penyakit misteri.

Muhammad Nazmi yang menyifatkannya arwah sebagai sumber inspirasi kehidupannya, berkata perjuangan di bumi Kemboja diteruskan bagi melaksanakan hasrat arwah untuk melihat beliau membawa pulang pingat emas di kejohanan antarabangsa.

Katanya, dorongan dan doa ahli keluarga memberi kekuatan kepada beliau untuk membuat penampilan sulung di temasya dwitahunan itu dalam acara lompat jauh lelaki F35 (serebrum palsi). 

“Sebenarnya mak sudah sakit lama semenjak saya kecil namun semakin kronik pada 2019… memang sedih sebab masa mak menghembus nafas terakhir saya tiada di rumah namun saya kuatkan diri selepas mendapat galakan daripada ahli keluarga,” katanya dengan aliran air mata. 

Menurut pemuda berusia 20 tahun itu, ibunya sempat berpesan supaya beliau melakukan yang terbaik dan membawa balik pingat emas.

Muhammad Nazmi berkata beliau dimaklumkan mengenai pemergian ibu menerusi panggilan telefon oleh kakaknya, Nur Nazura Nasir pada malam Selasa ketika berada di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan.

Katanya dalam nada sebak, beliau hanya pulang sehari ke kampung halaman di Pontian untuk menghadiri pengebumian dan kembali ke ibu negara pada petang Rabu.

Beliau, bagaimanapun, reda dengan ujian itu apatah lagi ibunya sudah sekian lama menanggung kesakitan.

Muhammad Nazmi yang memenangi pingat emas pada temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 dengan catatan 5.68 meter, menyasarkan untuk merekodkan lompatan sejauh 6 meter. 

“Jadi berada di APG saya sendiri mahu emas untuk banggakan keluarga dan dapat perbaiki rekod peribadi terbaik di Johor,” ujarnya yang akan beraksi Ahad ini.

Pada edisi APG kali ini, kontinjen Malaysia diwakili oleh 144 atlet yang akan mengambil bahagian dalam 13 daripada 14 jenis sukan dipertandingkan, dengan sasaran 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa.

-- BERNAMA