SEAOWSC: Magdalene, Kai Yi raih perak di Tasik Putrajaya

Lim Kai Yi (kiri) dan Magdalene Lau. (Kredit: SEAOWSC)
02/02/2023 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Perenang muda kebangsaan Magdalene Lau cemerlang pada penampilan pertamanya dalam disiplin perairan terbuka apabila meraih pingat perak pada Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia Tenggara (SEAOWSC) di Tasik Putrajaya, hari ini.

Atlet kelahiran Sarawak itu menamatkan saingan tiga pusingan kategori 5 kilometer (km) wanita 16-17 tahun pada kejohanan yang julung kali diadakan itu dengan catatan 1 jam 3 minit 48.4 saat (s).

Peserta Thailand Catherine Sherratt mengungguli acara berkenaan selepas merekodkan 1:03:33.07s, manakala perenang Singapura Ashley Ng di kedudukan ketiga dengan catatan 1:04:18.2s. 

Pencapaian membanggakan itu meletakkan Magdalene di tempat kelima dalam ranking keseluruhan yang merangkumi peserta wanita daripada tiga kategori iaitu 14-15 tahun, 18-19 tahun dan 20 tahun ke atas (terbuka). 

“Saya sama sekali tidak menjangka mampu meraih kedudukan podium kerana baru mula berjinak dalam disiplin perairan terbuka dan ini kali pertama bertanding, selama ini saya cuma berlatih sahaja. 

“Memenangi pingat pertama dalam penyertaan sulung renang perairan terbuka dan kali pertama mewakili negara, saya pasti akan mengingati detik ini buat selama-lamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Lim Kai Yi turut mencatat keputusan membanggakan apabila menambah koleksi pingat perak buat Malaysia menerusi kategori sama bagi saingan lelaki. 

Atlet kelahiran Perak itu menamatkan cabaran dengan catatan 59:04.6s untuk menduduki tempat kedua di belakang perenang Thailand Nitis Natesawang (58:51.6s), manakala Piampan Piamkum dari Thailand terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa apabila merekodkan 59:08.9s.

“Saya berjaya mengatasi catatan peribadi terbaik saya dengan empat minit, namun ia sesuatu yang diduga kerana sebelum ini saya beraksi di lautan terbuka.

“Saya mahu menjadi sehebat ‘sifu’ saya Kevin Yeap (pemenang pingat emas Sukan SEA 2017) dan mengikut jejak langkahnya suatu hari nanti. Pencapaian podium peringkat Asia Tenggara ini akan saya jadikan sebagai batu loncatan untuk kejohanan akan datang,” katanya. 

SEAOWSC yang membuka tirai hari ini akan diteruskan dengan saingan 10km yang juga acara rasmi temasya Olimpik, esok.

-- BERNAMA