ASN: Ini bukan kali terakhir - Azizulhasni

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bergambar bersama penerima anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan, pelumba negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang (dua, krii) dan atlet Terjun negara Datuk Pandelela Rinong Anak Pamg (dua, kanan) pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil hari ini. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (kiri).
31/01/2023 07:46 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang seakan-akan masih belum puas biarpun melakar sejarah muncul atlet lelaki terbanyak dinobatkan Olahragawan Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) iaitu sebanyak lima kali.

Mohd Azizulhasni berkata kejayaan kelima dilakar pada edisi 2021 hari ini ternyata membakar  semangatnya untuk cuba merangkul gelaran seterusnya pada dua lagi edisi ASN setelah membayangkan bakal bersara selepas Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

“Saya akan bekerja keras untuk pastikan dapat gelaran keenam, ia impian saya jadi saya akan usaha keras untuk memenanginya,” katanya pada sidang media selepas ASN 2021 di sini hari ini.

Mengulas mengenai saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kontinjen Malaysia merangkul emas pertama Sukan Olimpik di Paris, bekas juara dunia itu berkata sebagai atlet senior, beliau tetap akan mengambil cabaran untuk menggapai kejayaan gemilang di Perancis nanti.

Bagaimanapun, pemenang pingat perak keirin lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu secara peribadi berpendapat atlet junior juga harus bersedia memikul tanggungjawab merealisasikan Malaysia mendapat emas sulung di temasya sukan berprestij itu.

Menyentuh mengenai perkembangan terkininya, pelumba berusia 35 tahun itu akan fokus mengejar mata merebut slot ke Kejohanan Dunia 2023 di Glasgow, Scotland pada 3 hingga 13 Ogos ini sewaktu beraksi dalam tiga siri Piala Negara-Negara bermula Februari ini.

Bekas juara dunia itu akan mula mengayuh pada Piala Negara-Negara di Jakarta, Indonesia pada 23-26 Feb, diikuti Kaherah, Mesir (14-17 Mac) dan Milton, Kanada (20-23 April).

Dalam pada itu, ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong pula mengakui tidak menyangka meraih Olahragawati Kebangsaan buat kali keempat dalam kariernya memandangkan beliau mengalami prestasi kurang menentu pada 2021 biarpun merangkul emas di Piala Dunia bagi acara 10 meter (m) individu platform di Tokyo, Jepun.

“Saya harap dapat teruskan karier saya dalam terjun selama yang boleh di samping melakar lebih banyak keputusan membanggakan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Olahragawan Paralimpik Kebangsaan Bonnie Bunyau Gustin yang terharu menerima gelaran sulung berkenaan berharap dapat mengekalkan prestasinya sehingga Sukan Paralimpik 2024.

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan Brenda Anellia Larry daripada sukan renang pula mendedikasikan kejayaan kepada jurulatih, Eva Wong Hie Ming serta keluarganya atas sokongan diberikan selama ini sehingga dapat membuat penampilan pertama di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

-- BERNAMA