Muhaizar intai slot Sukan SEA dalam acara aquathlon

Atlet marathon negara Muhaizar Mohamad (Gambar fail)
28/01/2023 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Veteran tentera yang juga seorang daripada pelumba maraton utama negara Muhaizar Mohamad mengharapkan hadiah persaraan yang terbaik buatnya dengan beraksi dalam acara Aquathlon, yang akan dipertandingkan buat kali pertama di Sukan SEA Kemboja 2023.

Staf Sarjan yang akan bersara setelah berkhidmat lebih dua dekad dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu perlu memastikan beliau layak ke temasya sukan yang akan berlangsung pada 5-17 Mei ini, dengan menampilkan aksi terbaik pada Kejohanan Neptune X114 (NX113) Aquathlon Putrajaya, 4 Feb ini.

Bagaimanapun, ia bukanlah laluan mudah buat Muhaizar, kerana atlet berusia 37 tahun itu perlu bertanding dalam kategori Elit NX113 Aquathlon dengan mengharungi cabaran berenang sejauh 500 meter (m) sebelum beralih ke larian 2.5 kilometer (km) di sekitar Tasik Putrajaya.

“Kepakaran saya ialah larian, jadi kalau saya menamatkan renangan di bawah 10 minit, saya yakin dapat memberi saingan hebat kepada pencabar utama yang lain. Saya boleh melengkapkan larian di bawah lapan minit.

“Acara ini memberi peluang kepada orang ramai untuk mewakili negara pada Sukan SEA 2023. Saya dapat lihat semakin ramai orang telah berkecimpung dalam sukan ini dan ini ialah satu petanda baik kerana negara ini sememangnya memerlukan kumpulan bakat yang besar untuk melahirkan jaguh sukan,” kata pemenang pingat gangsa dalam acara maraton lelaki Sukan SEA 2017 dan 2019, dalam kenyataan daripada penganjur hari ini.

Muhaizar dan jaguh triathlon wanita Indonesia Inge Prasetyo adalah antara nama besar yang akan bertanding pada NX113 Aquathlon, yang menerima pendaftaran daripada 500 peserta setakat ini.

Aquathlon akan membuat penampilan sulung bersama-sama dua lagi acara pelbagai disiplin - triathlon dan duathlon – pada Sukan SEA di Phnom Penh.

Sementara itu, bekas juara Asia dua kali acara Paratriathlon Mohd Sabki Ariffin turut mengesahkan penyertaannya dalam kejohanan NX113 Aquathlon itu.

“Saya telah menerima dana untuk bertanding dalam kejohanan ini dan sama sekali tidak akan mensia-siakan peluang ini. Walaupun mengalami kecederaan bukul lali, ia langsung tidak melemahkan semangat saya untuk memberikan yang terbaik, harap dapat menamatkan saingan di podium,” kata Mohd Sabki, yang bersedia mencabar atlet normal pada NX113 Aquathlon.

Menurut penganjur, kategori lain yang akan dipertandingkan pada 4 Feb ialah Standard (renangan 1.5km/larian 10km), Sprint (renangan 750m swim/larian 5km) dan Super Sprint (renangan 500m/larian 2.5km), namun hanya pesaing dalam kategori Elite yang layak untuk bertanding dalam pemilihan ke Sukan SEA.

Mereka yang ingin menyertai NX113 Aquathlon boleh mendaftar melalui registration@neptunextreme.com, bagaimanapun pendaftaran untuk kategori Elite perlu dihantar menerusi persatuan triathlon negeri masing-masing.

NX113 Aquathlon akan dilangsungkan serentak dengan Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia Tenggara (SEAOWSC) yang akan diadakan pada 2-4 Februari.

-- BERNAMA