Terbuka Malaysia peluang layak ke Sukan SEA 2023 - Jia Xin

Ngu Jia Xin (Gambar fail)
09/01/2023 03:06 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Atlet lompat tinggi wanita negara, Ngu Jia Xin berazam melepasi had kelayakan ditetapkan ke Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, sewaktu berentap dalam Terbuka Malaysia 2023, bulan depan.

Katanya, beliau perlu membuat lompatan setinggi 1.75 meter (m) dalam kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini, untuk melayakkannya membuat penampilan kedua pada temasya dwitahunan itu.

"Ketika ini saya memang bekerja keras untuk ke Sukan SEA, sudah agak lama saya tidak membuat lompatan sekurang-kurangnya 1.75m selepas kali terakhir saya lakukan dalam sebuah kejohanan di Kuala Lumpur pada 2021 dengan 1.76m.

"Namun, apa yang saya perlu lakukan ketika ini hanyalah percaya pada diri sendiri," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sekiranya berjaya meraih tiket ke temasya sukan tersebut, juara bertahan Sukan Malaysia itu berkata beliau dijangka menjalani latihan di kampung halaman jurulatihnya, Alex Gasparyan, iaitu Uzbekistan pada April ini selama dua minggu bagi menyiapkan diri bersaing di Kemboja.

Jia Xin juga mengakui memerlukan sekurang-kurangnya dua kejohanan antarabangsa bagi mendapatkan rentak menjelang Sukan SEA 2023 yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 17 Mei ini.

Atlet berusia 22 tahun itu sekadar menamatkan saingan di tempat kelima dengan lompatan setinggi 1.65m sewaktu membuat penampilan sulung Sukan SEA di Hanoi, Mei lepas.

Atlet kelahiran Pantai Remis itu pernah melakukan catatan peribadi terbaik iaitu 1.79m pada Terbuka Perak 2019.

-- BERNAMA