Perlu dua bulan cari galah baharu - Sarah Adi 

Nor Sarah Adi
17/11/2022 05:00 PM

Oleh Farah Najihah Zuraimi

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Selepas kehilangan galah semasa Sukan Malaysia (Sukma) 2022 pada September lepas, juara bertahan lompat bergalah wanita Sukan SEA Nor Sarah Adi memerlukan kira-kira dua bulan bagi mencari galah baharu untuk beraksi pada Sukan SEA ke-32 di Phnom Penh, Kemboja tahun depan.

Beliau mengakui memerlukan masa secukupnya untuk mencari rentak keserasian bersama galah baharu kerana menyifatkan galah lamanya sebagai 'permata' selepas membantunya menghadirkan pingat emas dalam acara berkenaan setelah hanya menyertai temasya itu sebagai atlet bidan terjun.

“Saya menjalani rehabilitasi sebaik tamat Sukma sebab mengalami kecederaan hamstring bahagian kiri selama enam minggu. Jadi sekarang baru proses latihan dan mencari galah baharu yang memerlukan masa dalam dua bulan, mungkin dalam Januari atau Februari. 

“Galah dahulu sudah bersama saya selama empat bulan, sebaik saya mengisi slot bagi mencukupkan kuota acara lompat bergalah dan galah itu juga yang membawa tuah menang emas di Sukan SEA,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sarah Adi yang sebelum ini aktif dalam acara 4x100 meter (m) memaklumkan kepanjangan galahnya sekitar 4.3 m, namun menyasarkan untuk menggunakan galah berukuran 4.45 m pada edisi seterusnya.

Mei lepas, Sarah Adi mencipta kejutan dengan merangkul pingat emas Sukan SEA, sekali gus menamatkan kemarau emas 11 tahun bagi Malaysia selepas mencatatkan lompatan terbaik peribadinya dengan ketinggian 4.00 m, mengetepikan cabaran Chonticha Khabut dari Thailand yang melakukan lompatan 3.80 m dan Alyana Martinez dari Filipina (3.60 m).

Tidak terhenti di situ sahaja, atlet berasal dari Pahang itu kemudian membantu kuartet 4x100 m wanita untuk meraih pingat gangsa bersama gandingan Nor Sarah dengan S. Komalam Shally, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias.

Selain Sukan SEA tahun depan, beliau juga berharap dapat beraksi pada Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China dijadual pada 23 Sept hingga 8 Okt 2023.

“Saya memang sasar nak pertahan emas di sana (Kemboja) kerana dahulu saya datang hanya sebagai atlet bidan terjun, namun kali ini saya memang sudah bersedia. Saya sudah faham aliran pertandingan itu jadi yakin mampu melakukan terbaik. Saya kalau boleh nak guna galah lebih panjang untuk memastikan lompatan lebih bergaya nanti.

“Sebenarnya nasihat dan dorongan ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil juga banyak membantu saya memperbaiki teknik lompatan dan keyakinan saya terhadap kredibiliti beliau yang sudah melahirkan ramai atlet bertaraf antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA