Bakat Para Sukma diketengah ke APG Kemboja 2023

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail (Gambar fail)
07/11/2022 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengetengahkan bakat yang dikenal pasti menerusi temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 untuk membawa cabaran negara pada Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Kemboja, Jun depan.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata selain Para Sukma yang berakhir semalam, pihaknya juga menilai atlet berdasarkan prestasi dipamerkan pada siri sirkit dianjurkan sebelum ini.

“Kita ada dua fokus dalam menganjurkan Para Sukma iaitu mengenal pasti bakat-bakat baharu dan atlet yang boleh kita masukkan dalam kontinjen ke APG Kemboja sebagai langkah pertama mereka ke peringkat antarabangsa.

“Seterusnya, kita akan mengadakan perbincangan bersama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan persatuan sukan yang terlibat menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kerja dalam masa satu, dua bulan ini (untuk bincang program seterusnya),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kira-kira 1,300 atlet mewakili 15 kontinjen bersaing di Para Sukma bermula 1 hingga 6 Nov merebut 290 pingat emas ditawarkan dalam 10 jenis sukan - boccia, renang, badminton, catur, boling padang, memanah, olahraga, ping pong, powerlifting dan tenpin boling.

Ahmad Shapawi berkata bagi sukan-sukan yang tidak dipertandingkan pada Para Sukma, pihaknya menyediakan pakej bantuan untuk menguji tahap kemampuan sebenar atlet terlibat.

Sementara itu, beliau berkata Jawatankuasa Tertinggi akan membincangkan tuan rumah Sukma dan Para Sukma seterusnya pada mesyuarat akan datang.

“Setakat ini, kita belum membincangkan perkara itu dengan lebih terperincin, insya-Allah kita akan membincangkannya dengan JawatankuasaTertinggi nanti,” katanya.

Kontinjen Sabah muncul juara keseluruhan buat julung kali selepas meraih 54 pingat emas, 36 perak dan 35 gangsa pada temasya kali ini manakala juara bertahan Sarawak (50-47-49) terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua diikuti Johor (38-30-25) di tempat ketiga.

-- BERNAMA