Para Sukma: Muhamad Afiq makin selesa bawah Hamberi

Zainab Asrani, 64, sanggup datang dari Kota Tinggi, Johor, bagi memberi sokongan kepada anaknya yang juga atlet kebangsaan dari Johor, Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah yang menjuarai acara 200m lelaki T12 (masalah penglihatan) di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil.
05/11/2022 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Pelari pecut para negara yang beraksi di bawah kategori T12 (masalah penglihatan) Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah semakin selesa di bawah bimbingan jurulatih baharu Hamberi Mahat.

Muhamad Afiq, yang mewakili Johor, berkata kehadiran Hamberi sejak awal bulan lepas membantu beliau membawa pulang tiga emas dalam temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 di sini termasuk mencatat rekod kebangsaan baharu acara 400 meter T12, 53.44 saat (s) semalam sekali gus memadam rekodnya sendiri pada edisi 2018 di Perak iaitu 55.11s.

“Walaupun baru sebulan, banyak saya pelajari daripada Hamberi yang juga bekas atlet pecut kebangsaan. Dia ada pengalaman tunjuk ajar yang baik termasuk mengambil lesen kejurulatihan di Jerman sebelum ini.

“Jurulatih banyak nampak kelemahan yang saya sendiri tidak nampak seperti teknik larian selain permulaan di grid larian,” katanya kepada pemberita.

Justeru, pemenang gangsa Sukan Komanwel Gold Coast 2018 itu berharap sentuhan Hamberi mampu membawa beliau untuk melayakkan diri secara merit ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

Muhamad Afiq juga bertekad untuk menempa kejayaan pada Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Kemboja dan Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China tahun depan.

Terdahulu, atlet berusia 28 tahun itu merangkul emas ketiga peribadi pada temasya kali ini menerusi acara 200m T12 dengan catatan 23.33s menewaskan Muhammad Noorhelmie Mohd Rabi (24.59s) dari Kuala Lumpur yang memperoleh Perak manakala Flexcyvius Michael Ketet Anak Bakar dari Sarawak menang gangsa (26.70s).

Khamis lepas, Muhamad Afiq mengungguli final 100m T12 dengan catatan 11.67s untuk meraih emas pertamanya di Para Sukma 2022.

Hamberi memulakan tugas sebagai jurulatih pecut para baharu negara pada 1 Okt lepas menggantikan R. Jeganathan selepas kontraknya tidak disambung Majlis Sukan Negara awal tahun ini.

-- BERNAMA