Sukan Olimpik: Erry sasar perbaiki ranking dunia sukan angkat berat

Atlet angkat berat kebangsaan, Erry Hidayat
05/11/2022 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat mempunyai misi menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik dunia sekali gus memperoleh slot beraksi di Sukan Olimpik Paris, 2024.

Badang berusia 23 tahun itu berkata beberapa kejohanan dunia yang juga pentas kutipan mata ranking kelayakan temasya berprestij itu akan disertai bermula dengan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Colombia pada Disember ini bagi merealisasikan sasarannya itu.

"Sasaran saya untuk dapat ranking 12 dunia paling minimum untuk layak ke sana (Sukan Olimpik). Sekarang ini, saya berada di rangking 16 dunia.

Catatan angkatan terbaik saya sekarang 316 kilogram (kg), 173kg dalam Clean & Jerk dan 143kg dalam snatch," katanya ketika dihubungi.

Ditanya sama ada jumlah angkatan dilakukan pada temasya Sukan SEA Hanoi, Mei lepas mampu melayakkan dirinya bersaing di pentas Olimpik, beliau optimis dapat memberikan saingan kepada pencabar lain.

"Berdasarkan prestasi, saya yakin boleh dapat capai sasaran ranking ke-12, namun untuk meraih kedudukan lima teratas di Olimpik  sedikit sukar kerana atlet yang berada di ranking pertama dunia pun mempunyai rekod angkatan melebihi 199kg," katanya.

Anak kepada legenda angkat berat negara, Muhammad Hidayat Hamidon itu pernah mengharumkan nama negara sebelum ini selepas menghadiahkan pingat perak dalam kategori 73kg di temasya Sukan Komanwel, Birmingham 2022.

-- BERNAMA