Bakal pengganti 'Dik Wan' puas raih emas

Ahmad Fizzi Rosni
04/11/2022 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Segala kekecewaan yang terbuku di hati akhirnya ‘terubat’ buat atlet para olahraga Johor Ahmad Fizzi Rosni selepas memenangi pingat emas 100 meter (m) Lelaki T35/T36 (Palsi Serebrum) pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Atlet berusia 22 tahun itu mencatat kepantasan 13.15 saat (s) untuk meraih emas Para Sukma pertamanya selepas membawa pulang dua perak dan satu gangsa pada penampilan sulungnya semasa edisi Para Sukma Perak 2018.

Beliau yang disebut-sebut sebagai pengganti jaguh para olahraga kebangsaan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi atau lebih dikenali sebagai ‘Dik Wan’ berkata pencapaian itu juga mengubat duka kekecewaannya untuk  beraksi di Sukan Para ASEAN 2020, Filipina selepas dibatalkan akibat pandemik COVID-19.

“Kejayaan ini petanda saya dah cuba yang terbaik dalam latihan,” katanya yang tidak dapat menahan perasaan sehingga menangis dan terpaksa ditenangkan seketika, ketika ditemui Bernama di sini.

Beliau kemudian berkata: “Saya berterima kasih kepada mak dan ayah yang sokong saya sampai ke sini, kawan-kawan semua beri sokongan dan cikgu serta jurulatih yang sentiasa mengajar. Sasaran saya adalah Sukan Para ASEAN Kemboja 2023, saya nak buat terbaik untuk mak dan ayah,”.

Beliau yang mengidolakan Mohamad Ridzuan, turut gembira selepas pemenang emas 100m T36 Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil itu sempat mengucapkan tahniah kepadanya atas kejayaan meraih emas.

Pada saingan final semalam, Ahmad Fizzi menjadi yang terpantas melepasi garisan penamat, menewaskan atlet Kedah Mohamad Sobri Ghazali yang mencatat 13.88s di tempat kedua dan ketiga menjadi milik wakil Perlis Mahfudz Mahzan yang merekodkan 14.85s.

Untuk rekod, Mohamad Ridzuan memiliki catatan masa peribadi terbaik 12.06s manakala rekod Paralimpik 11.85s dipegang atlet China, Deng Peicheng yang dilakukan pada edisi Tokyo 2020.

-- BERNAMA