Para Sukma: Azuan berjaya pertahan emas 

Azuan Amir Hassan
02/11/2022 09:51 PM

PETALING JAYA, 2 Nov (Bernama) -- Keputusan untuk beralih daripada sukan olahraga kepada boling selepas pencapaian kurang memuaskan, ternyata membuahkan hasil membanggakan buat atlet dari Sabah Azuan Amir Hassan.

Atlet berusia 35 tahun dari Tawau itu yang membuat penampilan ketiga di Para Sukan Malaysia (Para Sukma) berjaya mempertahankan pingat emas dimenanginya pada edisi 2018 di Perak hari ini.

Azuan yang bekerja sebagai tukang urut meraih pingat emas perseorangan TBP1 (masalah penglihatan) pada hari pertama tenpin boling Para Sukma 2022 di sini hari ini.

“Saya mula main boling pada 2013 secara suka-suka selepas diajak oleh rakan. Mula-mula memang sukar hendak bayangkan kedudukan pin, namun Alhamdulillah saya berjaya atasi sehingga dapat sumbang pingat untuk Malaysia juga,” katanya kepada Bernama.

Selain dua emas di Para Sukma untuk Sabah, Azuan pernah merangkul emas perseorangan bercampuran pada Sukan Para ASEAN 2015 di Singapura selain pingat gangsa acara beregu di Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan bersama pasangannya, Zainol Akmar.

Disebabkan kos tinggi untuk membeli palang, bapa kepada tiga anak itu menghasilkan sendiri alat khusus diperbuat daripada polyvinyl chloride (PVC) bagi membantu atlet sepertinya menstabilkan badan sebelum membuat balingan bola ke lorong ditetapkan.

Sementara itu, jurulatih Muhamad Aliff Kamarudin, 34, berkata selain palang yang diletakkan bersebelahan pemain, tugasnya juga penting dalam membantu anak buahnya menentukan arah sebelum membuat balingan.

“Jurulatih perlu berada di belakang pemain untuk bimbing mereka di mana sasaran pin yang perlu dijatuhkan. Kesemua nombor pin ada dalam minda para pemain, mereka hanya mengikut arahan kami,” katanya.

Mengenai persembahan Azuan, Muhamad Aliff mengakui kekurangan kejohanan gara-gara COVID-19 menjejaskan permainan atlet tersebut sehingga menyaksikan balingan pertama hingga ketiga kurang memberangsangkan sebelum berjaya mendapat rentak seterusnya meraih emas.

Azuan mencatat 706 jatuhan pin untuk menjuarai acara berkenaan manakala perak milik atlet Pulau Pinang, Mohd Suhairi Abd Kadir (619 pin) manakala pingat gangsa dimenangi Fazlina Mhd Pauzi  dari Selangor (600 pin).

Sarawak menyapu bersih pingat ditawarkan bagi acara perseorangan lelaki TBP4 (masalah pembelajaran), dengan Abg Yahya Abg Azhar muncul juara selepas melakukan 1,149 jatuhan pin diikuti Muhammad Hazim Sazali yang mendapat perak (1,013 pin) dan gangsa milik Muhammad Ridzuan Madzhi (1,002 pin).

-- BERNAMA