'Wanita besi' Tahira ungguli Powerman Malaysia

Atlet negara Haziq Junaidy dan Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid beraksi cemerlang di Powerman Malaysia 2022, Dataran Putrajaya, hari ini.
30/10/2022 05:14 PM

PUTRAJAYA, 30 Okt (Bernama) -- Atlet sukan lasak wanita negara Tahira Najmunisaa Muhammad beraksi cemerlang apabila berjaya mendominasi kategori Classic Wanita Powerman Asia-Malaysia 2022 sejauh 80 kilometer (km) di Dataran Putrajaya, hari ini. 

Pemenang pingat perak Sukan SEA Hanoi itu, mencipta sensasi dengan mencatat masa tiga jam, 14 minit dan 08 saat untuk mengesahkan tempat pertama, manakala wakil Singapura Xinhui Su (3:29.41s) dan seorang lagi atlet negara Chong Hui Xin (3:38.33s), masing-masing terpaksa berpuas hati dengan perak dan gangsa. 

Mengulas mengenai perlumbaan hari ini, Tahira, 33, yang digelar sebagai ‘wanita besi’ berkata ia pertandingan yang sangat kompetitif selain menjadi medan persediaan terbaik buatnya menghadapi Sukan SEA di Kemboja tahun depan. 

“Saya tak berapa semangat untuk bertanding hari ini, semasa kayuh basikal saya jatuh dekat KM10, tetapi cuaca baik, cabaran baik dan Alhamdulillah saya dapat tempat pertama,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.

 Ibu kepada empat anak itu berkata pencapaian hari ini turut membuktikan beliau mampu membawa cabaran lebih baik untuk beraksi di Sukan SEA 2023. 

Dalam pada itu, Tahira berharap agar Kementerian Belia dan Sukan dapat mengetengahkan sukan duathlon di negara ini dalam usaha memperkenalkan lagi atlet sukan itu di persada antarabangsa. 

Sementara itu, Muhammad Haziq Junaidy mengungguli kategori Short lelaki dengan catatan masa 1:26.30s, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Carl Vincent Guttierrez dari Filipina (1:30.44s) dan Thawatchai Aemaot dari Thailand (1:34.39s). 

Gelaran kategori Elit lelaki pula disambar juara dunia duathlon 2015 dan 2016, Matt Smith dari Australia yang mencatat 2:40.58s, manakala Saud Alzaabi (2:40.58s) dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amin Saghaeidehkordi (2:44.55s) dari Iran melengkapkan kedudukan podium.

Kejohanan Powerman Asia-Malaysia tahun ini menyaksikan seramai 4,300 peserta dari 35 negara sekali gus mendapat gelaran Duathlon Terbesar di dunia yang sebelum ini dipegang London. 

Saingan hari ini menyaksikan peserta berlumba mengikut jarak yang ditetapkan bagi kategori masing-masing dengan format berlari-berbasikal-berlari. 

Kali terakhir Kejohanan Powerman Asia-Malaysia diadakan pada 2019 sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia. 

-- BERNAMA