Sree Abiraame berlatih bersama kelab luncur ais terkemuka Korea Selatan

C. Sree Abiraame (kiri)
26/09/2022 09:41 PM

PETALING JAYA, 26 Sept (Bernama) -- Peluncur ais muda sensasi negara C. Sree Abiraame, kini mengorak langkah lebih jauh dalam sukan itu apabila akan menjalani latihan selama tiga tahun bersama kelab luncur ais terkemuka Korea Selatan, The Skating Club Jewels.

Atlet berusia 10 tahun itu, akan berkelana ke negara tersebut dalam persediaan awalnya bagi melayakkan diri dalam Sukan Olimpik Remaja Musim Sejuk 2028 dan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2030.

Kedua-dua temasya itu, bagaimanapun hanya boleh disertai atlet cilik tersebut selepas umurnya usia 14 tahun.

“Saya bersedia untuk berlatih dengan gigih, biarpun di sana nanti latihannya memakan masa enam jam. Saya sudah biasa dengan tempoh latihan tersebut di sini,” katanya ketika ditemui Bernama di Sunway Resort di sini, hari ini.

Sementara itu ayah kepada atlet tersebut B. Chendren, berkata Sree akan berlepas pada 1 Okt ini untuk memulakan latihan intensif di sana.

“Ini merupakan fasa ke empat persiapan Sree di pentas dunia, yang memerlukan latihan intensif tinggi selama enam jam sehari, enam hari seminggu dan wajibnya 36 hari, untuk kelayakan Kesatuan Luncur Ais Antarabangsa (ISU).

“Latihan di Malaysia maksimum selama dua jam dan kita tidak ada fasiliti lengkap seperti di sana. Latihan itu juga mempunyai jurulatih teknikal yang akan menganalisis prestasi Sree, dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, Sree mendapat tajaan berjumlah RM30,000 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan juga sumbangan daripada Yayasan Sime Darby berjumlah RM60,000, bagi membiayai kos latihan di sana.

-- BERNAMA