Rouxin 'dalam radar' MS untuk Sukan SEA 2023

Tan Rouxin
26/09/2022 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Perenang dari Johor, Tan Rouxin, yang baru-baru ini mempamerkan aksi cemerlang pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, diintai Persatuan Renang Malaysia (MS) untuk disenaraikan dalam skuad Sukan SEA 2023 di Kemboja, Mei tahun depan.

Setiausaha Agong persatuan induk itu Mae Chen berkata pihaknya sedang menimbangkan untuk membawa masuk atlet berusia 16 tahun itu ke kem latihan kebangsaan, selepas pencapaian hebatnya membawa pulang enam emas, satu perak dan satu gangsa pada acara renang yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.

“Ya, tentunya kami mahu (memasukkan Rouxin dalam skuad Sukan SEA),” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Mae berkata Rouxin adalah seorang perenang berpotensi yang mahir dalam pelbagai teknik renang dan boleh bertanding dalam kesemua empat acara (gaya bebas, kuak lentang, kuak dada, kuak kupu-kupu) serta mempunyai masa depan yang cerah. 

Ditanya jika Rouxin mampu menggantikan perenang kebangsaan Phee Jinq En sekiranya Jinq En bersara kelak, Mae berkata masih terlalu awal untuk membuat penilaian, namun beliau percaya Rouxin berada pada landasan yang tepat untuk bersinar. 

Mengenai penilaian keseluruhannya terhadap persembahan atlet renang pada temasya itu, beliau berkata selain Rouxin, perenang muda lain termasuk remaja berusia 15 tahun Loo Yie Bing dari Sabah dan atlet Wilayah Persekutuan Muhammad Dhuha Zulfikry, 13, turut mempamerkan aksi membanggakan.  

“Ia adalah pertandingan yang sangat kompetitif, mencabar dan persaingan yang sihat antara semua negeri. Saya gembira melihat ramai yang pulang dengan senang hati,” katanya.

Selain itu, Mae memaklumkan MS berhasrat untuk menawarkan kesemua pemenang emas Sukma yang belum tersenarai di bawah program latihan kebangsaan di Bukit Jalil, untuk menyertai kem latihan itu tidak lama lagi.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat cabaran untuk menarik mereka menyertai kem latihan kebangsaan memandangkan para atlet itu terikat dengan program akademik di negeri masing-masing malah ada yang sedang menuntut di luar negeri.

“Walaupun mereka tidak boleh datang untuk latihan, masih terdapat ruang untuk kami merancang dan berbincang dengan mereka. Mereka boleh terus berlatih di negeri (masing-masing) dan selepas itu memberi laporan latihan kepada kami.

“Bezanya cuma tiada elaun diberikan serta beberapa faedah lain, seperti sokongan daripada Institut Sukan Negara, tetapi, akhirnya, kami masih boleh menimbangkan mereka untuk mewakili negara,” katanya.

-- BERNAMA