MOM gesa PSM, MASTAF cari penyelesaian terbaik

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
13/09/2022 06:17 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggesa pihak yang terlibat dengan dua entiti sepak takraw kebangsaan untuk menyelesaikan kemelut antara mereka secepat mungkin demi kebaikan sukan itu.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria percaya sekiranya Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF) dapat mencari penyelesaian terbaik, sukan itu mampu pergi jauh di pentas antarabangsa. 

“Kita tidak mahu politik dalam persatuan mengganggu perkembangan sukan ini kerana ia berpotensi untuk berkembang maju. Kemelut ini berlanjutan sekian lama, kita mengharapkan ia dapat diselesaikan dengan baik.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM)

“Timbalan Pesuruhjaya Sukan Arrifin Mohd Ghani juga akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma OCM di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sudah mengeluarkan dokumen proses kelayakan bagi 32 jenis sukan Sukan Olimpik Paris 2024, kecuali olahraga. 

“Sebagai pengerusi Jawatankuasa Road to Olympic Paris, jika ada sukan yang kita boleh mengambil peluang untuk proses kelayakan ini, kami akan memberi hala tuju bagi persatuan tersebut supaya memberi kemudahan kepada atlet berkelayakan di Olimpik nanti,” katanya.

Bagi Sukan SEA 2023 di Kemboja, Mohamad Norza berkata sebanyak 635 acara daripada 41 jenis sukan bakal dipertandingkan.

“Jawatankuasa pemilihan juga akan diadakan pada 11 Okt tahun ini, dengan keputusan pragmatik perlu diambil untuk menghantar atlet dalam setiap sukan atau sukan yang kita boleh mendapat peluang menang,” katanya.

Selain itu, Mohamad Norza berkata Jawatankuasa Keahlian MOM bersetuju dengan kemasukan dua ahli baharu di negara ini iaitu Malaysia DanceSport Federation (MYDF) dan Malaysia Triathlon.

-- BERNAMA