Kemenangan KL City FC hadiah Hari Kebangsaan buat negara - Hodak

Bojan Hodak
25/08/2022 11:15 AM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Ketua jurulatih pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC Bojan Hodak menyifatkan kemenangan pasukan itu pada pentas final Zon ASEAN saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) malam tadi, sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Beliau berkata selaku kelab kecil dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M), pihaknya tidak menyangka mampu mengorak langkah lebih jauh ke peringkat seterusnya di pentas Piala AFC.

"Kami tidak mempunyai jangkaan yang tinggi...kami hanyalah kelab kecil dan pasukan sentiasa bekerja keras tetapi kami berjaya melalui perlawanan demi perlawanan dan tiada siapa yang menjangkakan kami akan menang ke atas pasukan yang lebih baik. Ini ialah hadiah untuk Hari Kebangsaan.

“(Menjuarai) Piala Malaysia tahun lepas ibarat kisah dongeng, AFC kini juga sama. Setiap kisah perlu ada penghujungnya jadi kami akan meneruskan impian kami dan berharap pengakhiran yang menggembirakan buat pasukan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media malam tadi.

Mengulas lanjut, pengendali dari Croatia itu berkata persembahan dipamerkan anak buahnya dalam masa sama ialah satu perkhabaran baik buat Liga-M.

"Kami telah membuktikan bahawa kami juga pasukan yang terbaik di ASEAN, manakala Johor Darul Ta'zim (JDT) bermain di peringkat kalah mati dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL), jadi perkara ini adalah sesuatu yang baik buat liga bola sepak kita,” katanya.

Hodak dalam pada itu meletakkan kepercayaan ke atas skuad 'The City Boys' yang dilihat mampu memberikan tentangan sengit kepada lawan pada peringkat seterusnya.

"Kami tidak tahu pasukan lawan pada perlawanan seterusnya sama ada dari India atau Uzbekistan tetapi permainan ini pastinya akan sukar,” katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, KL berjaya menundukkan kelab Indonesia, PSM Makassar 5-2 sekali gus mara ke pusingan akhir Zon Piala AFC selepas penyertaan kelab India, ATK Mohun Bagan yang mewakili Zon Asia Barat dibatalkan ekoran penggantungan Persatuan Bola Sepak India oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa.

-- BERNAMA